Khamis, 26 Januari 2017 | 10:59pm

Liga Perdana: Nasib malang Sabah berterusan

PENGENDALI Skuad Sabah, Johnny Dominicus (kiri) ketika sessi latihan bersama pasukannya di Stadium Likas Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Skuad Sabah mengalami kekalahan kedua berturut-turut musim ini selepas kecundang 1-2 kepada Kuala Lumpur di Stadium Likas, malam ini.

Beraksi di hadapan 3,000 penyokong, Sabah memiliki peluang awal pada minit kelima menerusi sepakan percuma Masaya Jitzono dari luar kotak penalti tetapi cubaannya sekadar terkena benteng pertahanan.

Pada minit ke-10, giliran pelawat mencemaskan pintu gol tuan rumah, namun tandukan Ibrahim Syaihul yang tidak dikawal melepasi palang gol.

Pertahanan import dari Croatia, Igor Cerina, kemudian menceriakan penyokong tuan rumah apabila berjaya menanduk masuk bola hantaran sepakan percuma Jitzono pada minit ke-19 untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Bagaimanapun, Nicolas Alejandro memadamkan kelebihan Sabah itu apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-29 menerusi sepakan percuma cantik dari luar kotak penalti untuk mengikat kedudukan 1-1 pada babak pertama.

Kuala Lumpur hampir memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-50 selepas kesilapan dilakukan pertahanan Sabah, tetapi cubaan Abdul Manaf Mamat yang hanya berdepan penjaga gol melepasi palang.

Sabah kemudian mendapat dua peluang baik pada minit ke-59 dan ke-60, masing-masing menerusi Ummareng Bacok dan Maxsius Musa, tetapi rembatan dan tandukan mereka terus ke dakapan penjaga gol Kuala Lumpur, Ahmad Solehin Mamat.

Ketika permainan seakan-akan berakhir seri, Guilherme memusnahkan harapan Sabah apabila mudah menolak masuk bola hantaran Zhafri Yahya bagi menewaskan penjaga gol Rozaimie Rohim.

Berita Harian X