Jumaat, 27 Januari 2017 | 12:01am

Solekan pengantin sentuhan Korea

SEBUT apa saja berkenaan Korea, pasti membayangkan keindahannya. Dalam dunia fesyen dan kecantikan pula, negara itu dianggap sebagai pusat fesyen dan kecantikan.

Wanita Korea amat menyukai solekan yang memberi kesan lebih semula jadi pada penampilan mereka walaupun hakikatnya, mereka masih bersolek dengan pelbagai alatan dan produk sama seperti kita.

Solekan rona semula jadi turut terkena tempiasnya menerusi penggunaan warna lembut, nude dan suntikan merah jambu pada kawasan tumpuan wajah seperti bibir dan pipi.

Bagi dunia perkahwinan pula, solekan ala Korea mula mendapat permintaan besar dari mempelai sehingga pernah menjadi trend pertengahan tahun ini.

Teknik solekan pengantin Korea dikatakan, berupaya meremajakan wajah. Sama ada bertudung atau tidak, mempelai lebih berminat kepada solekan jenis ini yang tidak keterlaluan tetapi anggun digayakan.


WARNA digunakan tidak keterlaluan, tampilkan wajah lebih remaja. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Solekan nipis

Bagi Pengasas Exclusive ZNT, Aisya Zulaikha Has Tuah, beliau berkata ada pelbagai teknik solekan dan sentuhan ala Korea antara pilihan utama pengantin hari ini.

"Sebenarnya teknik solekan Korea nampak nipis kerana kita menggunakan rona pastel. Bagaimanapun, ia tetap memerlukan bedak asas, gincu bibir, maskara, pemerah pipi dan gincu bibir sama seperti teknik solekan lain.

"Untuk solekan jenis ini, biasanya kita mengambil masa agak lama di bahagian kening kerana bahagian berkenaan menyerlahkan kelembutan semula jadi pada wajah," katanya.

Aisya Zulaikha berkata, kebanyakan bakal pengantin mahu tampil sempurna dengan solekan jenis ini atas alasan ia begitu semula jadi. Mereka tidak mahu tampil seperti segelintir pengantin dengan solekan tebal dan kadangkala menakutkan ibarat memakai topeng wajah.

Info
Ciri solekan wanita Korea

  • Bibir Gradasi ('Gradient')

Trend ini adalah 'staple' bagi solekan bibir gadis Korea. Gradasi mencipta ilusi bibir lebih kecil dan juga memberi sesi keremajaan dan tulus kepada wajah.

  • 'Puppy eyes'

Solekan mata ini sesuai untuk mereka kerana kebanyakan mereka memiliki mata yang kuyu dan ke bawah.

  • 'Aegyo-Sal'

'Aegyo-sal' bermaksud lemak kecil di bahagian bawah mata atau lingkaran hitam. Mengatasi masalah lingkaran hitam, bahagian itu diserikan sapuan solekan yang boleh 'menutupnya.'

  • 'Dewy Skin'

Sinonim dengan solekan asas gadis Korea, wanita Korea menggelar jenis kulit ini sebagai 'mul-kwang-pi-bu' yang bermakna kulit lembap. Kebanyakan produk bedak asas dari Korea boleh memberi sentuhan akhir sebegini tetapi dengan bantuan beberapa produk lain.

  • Kening lurus

Kebanyakan wanita Asia memiliki kening yang agak lurus. Oleh itu wanita Korea mengutamakan merias kening.

  • Pipi mekar merah

Memandangkan gadis Korea menggemari solekan 'doll' atau anak patung, jadi penggunaan pemerah pipi tidak diabaikan.

  • Mata 'Doll'

Wanita Korea memiliki mata yang lebih kecil, jadi solekan mata 'doll' ini memberi ilusi mata yang lebih bundar dan juga memberi definisi lebih kepada bentuk mata.

Info

1. Cara penyediaan Seperti biasa, sapukan bedak asas pada wajah.


MULAKAN solekan pada bahagian mata dan kening. Bagi kening yang semula jadi lebat, elak pensel mata warna hitam dan guna warna coklat. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

2. Bagi pembayang mata


SAPU rata bahagian atas mata dengan emas mata pada soket mata. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

3. Letakkan serbuk kilauan berwarna emas juga pada bahagian bawah mata.


SAPU rata menggunakan berus kecil. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

4. Sapu pemerah pipi dari rona merah jambu.


PEKATKAN sedikit bahagian ini supaya terserlah gaya Korea anda.

5. Gunakan gincu bibir warna merah jambu.


SAPU rata pada bibir.

6. Gaya pengantin Korea terserlah pada anda. Selamat mencuba.


MODEL yang sudah siap dengan solekan pengantin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
62 dibaca
Berita Harian X