Jumaat, 27 Januari 2017 | 4:35pm

Mayat lelaki ditemui terapung

MAYAT mangsa ditemui anggota bomba terapung di Sungai Bukit Beruntung tengah hari tadi. - Foto Ihsan Bomba
MAYAT mangsa ditemui anggota bomba terapung di Sungai Bukit Beruntung tengah hari tadi. - Foto Ihsan Bomba

HULU SELANGOR: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang semalam ketika menjala ikan, ditemui di Sungai Bukit Beruntung, Kampung Timah SKC, dekat sini, hari ini.

Mayat Zulkifli Basir, 36, ditemui pada jam 1.38 tengah hari terapung dan sedang hanyut dibawa arus sungai itu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak semalam dan bersambung pada hari ini.

"Mangsa berjaya ditemui pada anggaran jarak 2 kilometer dari lokasi tempat mangsa dilaporkan jatuh. Pihak bomba dan penyelamat menyerahkan mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa Zulkifli Basir bersama seorang lagi rakannya menaiki perahu pada jam 1 pagi semalam untuk menjala ikan dan dilaporkan hilang apabila perahu yang dinaiki mereka terbalik di sungai berkenaan.

Bagaimanapun, rakan mangsa sempat berpaut pada dahan pokok di sekitar kawasan itu dan mangsa sudah dihanyutkan arus sungai.

Berita Harian X