Khamis, 18 Disember 2014 | 9:40pm
AKSI emas penerjun kebangsaan, Traisy Vivien dalam acara 10m platform wanita pada Sukan Universiti ASEAN 2014 di Stadium Akuatik Jakabaring, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Traisy gah raih emas terjun wanita


PENERJUN negara, Traisy Vivien meraih pingat emas dalam acara 10m platform wanita pada Sukan Universiti ASEAN 2014 di Stadium Akuatik Jakabaring, Palembang, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

PALEMBANG: Atlet terjun negara, Traisy Vivien berada dalam kelas tersendiri apabila mudah meraih pingat emas dalam acara 10m platform wanita di Sukan Universiti ASEAN (AUG), hari ini.

Traisy, 22, berjaya mengutip 280.60 mata menewaskan atlet terjun tuan rumah, Linadini Yasmin dengan 262.50 mata yang meraih perak dan Riza Jane Domenios dari Filipina meraih gangsa, 185.80 mata di Stadium Akuatik, Jakabaring.

Beliau berkata skuad terjun hanya dimaklumkan tiga minggu sebelum kejohanan bermula namun ia tidak menghalang atlet negara yang diwakili Jasmine Laidan Kam Ling Kar untuk membantu kontinjen meraih emas.

"Kami dimaklumkan perlu menyertai AUG tiga minggu sebelum kejohanan, saya hanya sempat membuat latihan sekejap sahaja dan saya berpuas hati dapat menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

"Saya pernah bersaing dengan atlet-atlet lain di sini, mereka juga membuat terjunan dengan baik terutama atlet dari Indonesia," katanya. -

Sementara itu skuad renang terus mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan apabila sekadar meraih dua emas menerusi Khoo Cai Lin dalam acara 400m rampaian wanita dan Erika Koh bagi 100m kuak dada wanita.

Cai Lin melakukan catatan masa 5 minit 00.18 saat menewaskan Hannah Dato dari Filipina (5:02.30s) yang meraih perak dan Dewi Ressa dari Indonesia (5:08:68s) untuk gangsa.

Erika pula membuat catatan 1:13.07s untuk pingat emas, atlet tuan rumah, Margaretha Kreta Pradani, meraih perak (1:15.04s) dan pingat gangsa menjadi milik Denjylie Cordero dari Filipina (1:15.23s).

Skuad renang turut menyumbang tiga perak menerusi Shaun Yap dalam acara 100m kuak dada lelaki, Chui Lai Kwan (50m gaya bebas wanita) dan gandingan (Vernon Lee, Chan Jie, Shaun Yap, Daniel Bego (400m gaya bebas berganti-ganti lelaki) manakala sebutir gangsa disumbangkan oleh Maryam Kok (50m gaya bebas wanita). - BERNAMA

Berita Harian X