Jumaat, 27 Januari 2017 | 11:18pm

Liga Super: Pahang berpesta gol di Kuantan


PEMAIN T-Team, Farhod Tadjiew (kiri) diasak pemain Pahang, Matthew Thomas Davies dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi. -Foto Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Skuad Pahang memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas membelasah T-Team 5-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Tuan rumah yang mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Perak, memulakan serangan bertali arus ke kubu lawan yang bermula dengan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Sumareh Mohamadou pada minit keempat dan kesembilan.

Asakan itu memberi tekanan kepada The Titans apabila Mohamdou menjaringkan gol pendahuluan selepas menanduk kemas hantaran daripada Zaharuddin untuk menewaskan penjaga gol, Muhd Izzuddin Muhd Hussin pada minit ke-14.

Skuad pelawat kendalian Rachmat Darmawan yang ketinggalan cuba bangkit dengan menekan pertahanan tuan rumah tetapi setiap cubaan mudah dipatahkan Tok Gajah menerusi kerahan kapten pasukan, Matthew Davies.

Pahang yang banyak melakukan serangan turut memiliki peluang untuk menambah jaringan tetapi benteng The Titans kebal bertahan untuk keputusan 1-0 pada separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan skuad Tok Gajah terus melakukan asakan untuk menambah jaringan dan usaha itu berhasil menerusi tandukan pemain kelahiran Brazil, Matheus Leandro pada minit ke-55.

Pada minit ke-64, pertahanan import Pahang, Jaewon Heo meledak gol ketiga untuk meletakkan skuad itu selesa mendahului 3-0.

Belum sempat T-Team memperkemaskan pertahanan mereka, Leandro dan Chinedu Ezendu menjaringkan gol keempat dan kelima pada minit ke-74 dan ke-85 untuk memastikan Pahang mencatat keputusan membanggakan.

Berita Harian X