Sabtu, 28 Januari 2017 | 10:01pm
DEKAN Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Datuk Prof Dr Adeeba. - Foto Asyraf Hamzah
DEKAN Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Datuk Prof Dr Adeeba. - Foto Asyraf Hamzah

Dr Adeeba tekad tingkat mutu bidang perubatan

KUALA LUMPUR: Menangani isu dan pemasalahan penyakit berbahaya khususnya HIV/Aids terus menjadi agenda utama Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman.

Justeru, pelbagai kajian dilakukan bagi menambah baik kaedah rawatan, peralatan dan pencegahan untuk penambahbaikan.

Selain itu, Dr Adeeba turut memberi tumpuan meningkatkan pembangunan sosial, etika dan ekonomi yang menjadikan bidang perubatan HIV/Aids menjadi lebih menarik untuk diceburi.

Selepas 30 tahun mencari penyelesaian memerangi isu penyakit berjangkit, Dr Adeeba mula beralih arah memberi tumpuan dalam mempertingkatkan program kurikulum siswazah sejak dua tahun lalu.

Sebagai pakar disegani dan pernah tersenarai antara 20 Saintis Wanita Paling Berpengaruh Dalam Sains dalam Dunia Islam oleh Muslim-Science.Com, Dr Adeeba bertekad meningkatkan kecemerlangan untuk memajukannya bidang penyelidikan dan perubatan ke peringkat global.

Menjadi misi Dr Adeeba adalah untuk menaik taraf bidang perubatan tempatan setanding di peringkat antarabangsa.

DEKAN Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Datuk Prof Dr Adeeba. - Foto Asyraf Hamzah
DEKAN Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Datuk Prof Dr Adeeba. - Foto Asyraf Hamzah

"Antara program giat diketengahkan untuk meningkatkan mutu ilmu dan kepakaran dalam bidang perubatan tempatan adalah program latihan lepasan ijazah bagi pelajar perubatan dikemaskini menerusi kokurikulum diperkenalkan sejak dua tahun lalu.

"Graduan perubatan diberikan fokus adalah dari pelbagai kategori termasuk kedoktoran, jururawat, farmasi dan lain-lain terbabit.

"Saya diberikan tugas dan kepercayaan untuk mengubah program latihan siswazah pakar perubatan. Ini menjadikan UM sebagai universiti dilantik untuk mengetahui program diketengahkan ini oleh Kementerian Kesihatan," katanya.

Lahirkan graduan berkualiti

Dr Adeeba berkata, pihaknya juga mengkaji dan menyemak semula kurikulum program lain antaranya farmasi, sains bioperubatan, kejururawatan dan pengimejan.

"Strategi pembaikan sistem berkenaan perlu diberi keutamaan untuk memastikan bidang perubatan setanding dengan kecemerlangan negara luar seperti Australia dan Amerika Syarikat," katanya.

DR Adeeba berkata, kelayakan dalam bidang perubatan bukan penentu pada kualiti perkhidmatan tetapi turut membabitkan pengukuhan ilmu dan kepakaran. - Foto Asyraf Hamzah
DR Adeeba berkata, kelayakan dalam bidang perubatan bukan penentu pada kualiti perkhidmatan tetapi turut membabitkan pengukuhan ilmu dan kepakaran. - Foto Asyraf Hamzah

Dr Adeeba, program menaik taraf perkhidmatan sistem perubatan perlulah dilakukan bermula pada akar untuk melahirkan graduan perubatan yang berkualiti dan berdaya saing.

Katanya, program itu membabitkan kaedah seperti menempatkan lebih banyak pakar dalam bidang perubatan dan kesihatan, berkemahiran, kemudahan penjagaan kesihatan, sistem pendidikan dan latihan efektif.

Program ini lengkap dengan pelbagai disiplin perkhidmatan untuk menyokong dan meningkatkan keupayaan pasukan penjagaan kesihatan primer.

Justeru, UM agresif menambah baik sistem penyampaian kesihatan, program graduan lepasan ijazah lebih progresif dengan mengkaji semula masalah berkaitan perkembangan industri kesihatan.

"Ketika ini kita sedang melaksanakan pengukuhan penyelarasan perkhidmatan dan perundingan antara agensi kerajaan dan sektor swasta," katanya.

DR Adeeba (kiri) ketika ditemubual wartawan BH. - Foto Asyraf Hamzah
DR Adeeba (kiri) ketika ditemubual wartawan BH. - Foto Asyraf Hamzah

Banyak wabak baru

Dr Adeeba berkata, kelayakan dalam bidang perubatan bukan penentu pada kualiti perkhidmatan, tetapi membabitkan pengukuhan ilmu dan kepakaran.

Katanya, untuk mewujudkan industri perubatan berkualiti universiti perlu melahirkan graduan yang cemerlang dalam bidang ini.

"Perkembangan bidang perubatan begitu pantas, ada saja wabak baru melanda dunia, begitu juga kemajuan teknologi yang diguna pakai.

"Justeru, doktor, jururawat dan pakar perubatan perlu bergerak bersama-sama sejajar dengan perkembangan dalam dunia perubatan dan bersedia melakukan perubahan," katanya.

Keterbukaan peluang juga membolehkan lebih ramai pelapis untuk mengambil peranan utama dalam pelbagai projek dan aktiviti membawa Fakulti ke tahap seterusnya dari segi pengajaran dan penyelidikan.

Katanya, usaha itu secara tidak langsung membuka lebih banyak platform dan melahirkan golongan profesional perubatan berkualiti bermula dari peringkat akar.

"Peningkatan itu juga membolehkan lebih ramai mendapat perkhidmatan kesihatan berkualiti sama ada di kemudahan awam mahupun swasta di seluruh negara.

"Pengalaman bekerja dalam bidang perubatan di luar negara sejak tiga dekad lalu membuka mata saya untuk meletakkan bidang perubatan negara ini ke tempat lebih jauh.

Kekal minat jadi pakar perubatan

Biarpun kurang melakukan kerja klinikal, Dr Adeeba tetap mengekalkan cinta pertamanya sebagai pakar perubatan penyakit berjangkit menyumbang kepada penghidap penyakit HIV dan pesakit.

"Saya masih meneruskan pusingan wad setiap minggu secara bergilir-gilir untuk melihat perkembangan pesakit.

"Mujurlah kami mempunyai banyak ahli akademik yang berpengalaman dan cemerlang, klinikal dan kakitangan penyelidikan membolehkan saya mewakilkan pakar lain untuk membantu," katanya

DR Adeeba turut memberi tumpuan meningkatkan pembangunan sosial, etika dan ekonomi yang menjadikan bidang perubatan HIV/Aids menjadi lebih menarik untuk diceburi. - Foto Asyraf Hamzah
DR Adeeba turut memberi tumpuan meningkatkan pembangunan sosial, etika dan ekonomi yang menjadikan bidang perubatan HIV/Aids menjadi lebih menarik untuk diceburi. - Foto Asyraf Hamzah

Info:
Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman

Pencapaian Akademik:

*Fellow Kolej Di Raja Pakar Perubatan Australiasian, Australia

*Ijazah Perubatan dan Ijazah Pembedahan (MBBS) Universiti Monash, Australia

Profesional

* Ahli Persatuan Perubatan HIV Australasian (Antarabangsa)

* Prof Sekolah Kesihatan Awam dan Perubatan Tropika Universiti Tulane, New Orleans, Louisiana (2016-2017)

* Ahli Jawatankuasa Saintifik Program Bioinspire (2016)

* Ahli Jawatankuasa Projek Pembangunan Metropolis Perubatan UM (2015-2018)

* Ahli Jawatankuasa Majlis Teknikal Bersama Ijazah Lanjutan Perubatan (MTBILP) (2015-2016)

* Ahli Jawatankuasa Kementerian Kesihatan (2013-2016).

* Ahli Jawatankuasa Panel Kepakaran UNAIDS Scientific (2013-2016).

* Ahli Lembaga Pengarah Penyuntingan Jurnal Persatuan Aids Antarabangsa (2013-2016).

Berita Harian X