Ahad, 29 Januari 2017 | 12:44am
ANTARA menu Dinner in The Sky Malaysia, 'Baked Seafood Lasagne topped with Garlic Roasted Prawns on a bed of Wilted Spinach.' - Foto Supian Ahmad
DINNER in The Sky Malaysia di MaTiC, Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad
MaTiC dipilih kerana kedudukannya yang strategik apabila terletak berdekatan antara KLCC dan Menara Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad

Terapung di udara sambil makan malam


BAYARAN Dinner in The Sky Malaysia antara RM229 hingga RM249 bagi tempoh satu jam terawang-awangan. - Foto Supian Ahmad

MAKAN sambil terapung atau dalam keadaan terbuai-buai dihembus angin sepoi-sepoi bahasa. Kedengaran macam menarik tetapi pastikan anda tidak ada perasaan gayat keterlaluan.

Ini kerana anda menikmati hidangan makan malam romantik di atas struktur tiada pintu, dinding, lantai mahupun tingkap dan ia dalam keadaan tergantung.

Hanya terawang-awangan di udara sambil menyaksikan panorama kota konkrit Kuala Lumpur yang berkerlipan ibarat taman bercahaya, lalu merakamkan detik indah itu sambil berswafoto bersama insan tersayang.

Namun, itulah pengalaman istimewa bagi mereka yang ingin makan malam pada ketinggian bangunan enam tingkat dikenali Dinner in the Sky Malaysia (DITSM).

Makan malam terapung di udara memberi peluang kepada pengunjung menikmati hidangan yang disediakan di atas pelantar atau platform dikenali flight table sambil menghayati pemandangan menakjubkan dua ikon tersohor ibu negara Malaysia, Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) dan Menara Kuala Lumpur.

Hal sama berlaku di London apabila pengunjung terawang-awangan di udara menikmati makan malam sambil menghayati ikon kota berkenaan, Big Ben dan London Eye.


PELANGGAN boleh melihat pemandangan Kuala Lumpur di waktu malam ketika menikmati makanan di Dinner in The Sky Malaysia di MaTiC, Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad

Set hidangan mewah

Produk pelancongan Malaysia terbaharu, DITSM kini bertaraf antarabangsa.

Begitupun, sekiranya anda fobia pada ketinggian atau mudah berasa gayat apabila berada di tempat tinggi, dinasihatkan supaya jangan berlagak ego atau memaksa diri mencuba DITSM.

Namun, sekiranya sanggup berbelanja besar sempena sambutan hari istimewa seperti ulang tahun perkahwinan atau kejutan bagi insan tersayang meraikan ulang tahunnya dalam suasana romantik, sarat dengan keunikan dan pengalaman indah, DITSM adalah pilihan tepat.

Bayarannya ialah antara RM229 hingga RM249 bagi tempoh satu jam terawang-awangan.

Bagi penulis, di mana-mana pun kita boleh makan, namun untuk memperoleh pengalaman terawang-awang di udara, sambil menghirup udara malam, sekali gus mendapat layanan secara peribadi daripada Cef Sufiz Allatif yang menyediakan set hidangan mewah, DITSM adalah dunia fantasi yang kini menjadi kenyataan.


MAKAN malam terapung di udara sambil menghayati pemandangan menakjubkan. - Foto Supian Ahmad

Nikmati teh tarik di awang-awangan

DITSM dibawa ke Malaysia oleh syarikat pengurusan acara serta hiburan tempatan, 2Spicy Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) sebagai lokasi rasmi, adalah produk pelancongan unik, wajib cuba apabila berkunjung ke Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif 2Spicy Entertainment, Arvin Randahwa berkata, pihaknya memilih perkarangan Lanai, MaTiC kerana kedudukannya yang begitu strategik apabila terletak berdekatan antara KLCC dan Menara Kuala Lumpur, sekali gus menjanjikan panorama mempesona kepada pelancong.

Bagi Pengarah MaTiC, Zain Azrai Rashid, lokasi DITSM itu sendiri adalah pemangkin kepada MaTiC sebagai pusat sehenti bagi pelancong memperoleh perkhidmatan dan maklumat mengenai industri pelancongan serta kebudayaan Malaysia khususnya di Kuala Lumpur.

"Bagi menggalak kehadiran pengunjung, kini bercadang menambah perkhidmatannya pada jam 10 malam iaitu sesi makan lewat malam selama 30 minit, terapung di udara sambil menikmati segelas teh tarik bersama sajian ringan. Bayaran yang dikenakan pula adalah RM50 seorang, cukup murah!" katanya.

Berita Harian X