Ahad, 29 Januari 2017 | 12:02pm

Identiti rakyat Malaysia terbunuh di Filipina belum disahkan

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Filipina belum menyerahkan butiran berhubung identiti rakyat negara ini dipercayai pengganas yang terkorban dalam serangan udara dan darat oleh Tentera Filipina, Khamis lalu.

Difahamkan, ada sekurang-kurangnya tiga rakyat Malaysia diketuai Dr Mahmud Ahmad yang bergabung dengan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) pimpinan Isnilon Hapilon beroperasi di sekitar Marawi City, Mindanao.

Sumber berkata, selain Mahmud yang juga bekas pensyarah sebuah universiti di ibu negara, dua lagi individu dikenal pasti ialah anggota Darul Islam Sabah, Amin Bacho, dan bekas kakitangan pihak berkuasa tempatan, Joraimee Awang.

"Kemungkinan besar seorang daripada empat rakyat Malaysia yang terkorban dalam serangan itu adalah dalam kalangan mereka bertiga tetapi pengesahan sebenar belum diterima.

"Berdasarkan maklumat awal, pengganas dikehendaki, Isnilon Hapilon, turut tercedera dalam serangan yang menyasarkan dirinya itu," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Sebelum ini, dua rakyat Malaysia terkorban di selatan Filipina akibat serangan tentera negara berkenaan iaitu Zulkifli Hir atau Marwan dan Mohd Najib Hussein atau Abu Anas.

Bagaimanapun, sebahagian daripada kumpulan ASG yang mempunyai kaitan dan jaringan dengan Daesh dipercayai bergerak ke bandar Butig di wilayah selatan Lanao del Sur, Mindanao, untuk mewujudkan pangkalan baharu.

KETUA Penolong Pengarah, Bahagian Antipengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Antipengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, tidak menolak kemungkinan rakyat Malaysia yang terbunuh adalah antara tiga individu terbabit.

"Kita masih menunggu pengesahan pihak berkuasa Filipina.

"Mungkin ada lagi rakyat Malaysia menyertai ASG pimpinan Isnilon yang terkorban. Kita masih menunggu laporan rasmi dari Filipina," katanya.

Berita Harian X