Ahad, 29 Januari 2017 | 1:01pm

Aliran trafik lebuh raya utama mula perlahan


FOTO hiasan. Keadaan trafik berhampiran Plaza Tol Pedas, Rembau, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

KUALA LUMPUR: Aliran trafik mula perlahan di beberapa lebuh raya utama arah utara dan selatan berikutan pertambahan kenderaan setakat 12 tengah hari ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi Bernama berkata kenderaan bergerak perlahan di kawasan Slim River ke Sungkai, Rawang ke Sungai Buaya, Port Dickson ke Senawang dan Senai ke Kulai.

"Aliran trafik juga perlahan di KM414 arah utara di Bukit Beruntung menghala ke Lembah Beringin akibat kemalangan membabitkan tiga kereta yang menyebabkan kesesakan sejauh enam kilometer," katanya.

Jurucakap itu berkata aliran trafik turut dilaporkan perlahan akibat kemalangan membabitkan kereta di KM282 arah selatan di laluan Putra Mahkota menuju ke Kawasan Rehat dan Rawat Seremban yang menyebabkan kesesakan sejauh enam kilometer.

"Tiada lorong yang terhalang dan kerja-kerja mengalihkan kenderaan sedang dilakukan," katanya.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur masih lancar dan terkawal tengah hari ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Berita Harian X