Ahad, 29 Januari 2017 | 3:36pm

Budak 2 tahun lemas tergelincir ke sungai


AHLI keluarga memangku mayat mangsa selepas ditemui terapung di Sungai Gedung di Bidor, Perak, tengah hari tadi. - Foto Ihsan Bomba

BIDOR: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Gedung, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu, Nur Liya Zafirah Yusman Rizal, dari Kampung Simpang Tiga, Sungai Gedung di sini, dikatakan berada di tebing sungai sebelum dipercayai terjatuh.

Mayat mangsa ditemui terapung oleh penduduk kampung kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw, berkata lima pegawai dan anggota polis yang dibantu anggota bomba dan penduduk kampung bergegas ke lokasi sebaik mendapat maklumat.

"Mayat mangsa ditemui terapung di sungai berkenaan kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi kejadian, oleh penduduk kampung," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, Mohd Nadzir Abdul Razak, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 12.17 tengah hari sebelum ke lokasi kejadian.

"Mayat mangsa ditemui 30 minit kemudian," katanya.

Berita Harian X