Ahad, 29 Januari 2017 | 6:41pm

Denggi meningkat 9 peratus minggu ketiga 2017

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,592 kes demam denggi dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak 1 hingga 21 Januari, tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 47 peratus iaitu 4,890 kes berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, peningkatan berlaku sebanyak sembilan peratus dilaporkan pada 15 hingga 21 Januari lalu iaitu 2,053 kes berbanding 1,876 kes pada minggu sebelumnya.

"Bagi minggu ketiga (15 hingga 21 Januari), terdapat enam kematian dilaporkan menjadikan jumlah kematian denggi sehingga 21 Januari sebanyak 13 kematian, berbanding 23 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

"Terdapat enam negeri yang menunjukkan peningkatan kes pada minggu ketiga berbanding minggu sebelumnya iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya mempertingkatkan tahap kebersihan di mana-mana tempat yang berpotensi untuk pembiakan aedes.

"Cuaca yang tidak menentu pada ketika ini boleh meningkatkan lagi kadar pembiakan Aedes jika takungan air dibiarkan tanpa diperiksa dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya.

Mengenai perkembangan terkini virus Zika, Dr Noor Hisham, berkata mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 20 Januari lalu, sebanyak 8 kes disahkan positif jangkitan virus Zika dilaporkan dari 1 September hingga 31 Disember tahun lalu di negara ini.

"Pemantauan Sistem Survelan Virus Zika oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari 1 Januari hingga 21 Januari lalu, mendapati keputusan ujian bagi 97 sampel darah dan air kencing di kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus Zika adalah negatif," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X