Isnin, 30 Januari 2017 | 7:44am

Gol lewat Silva selamatkan Monaco temu PSG


BERNARDO Silva (tengah) meraikan kejayaan jaringan bersama rakan sepasukan.- Foto AFP

PARIS: Bernardo Silva meledak gol penyamaan pada masa kecederaan bagi membantu Monaco mengikat Paris Saint-Germain (PSG) 1-1, awal pagi tadi sekali gus kembali menerajui persada Ligue 1.

Edinson Cavani meledak gol ke-21 musim ini menerusi sepakan penalti pada minit ke-81 namun pemain dari Portugal, Silva berjaya mengecewakan tuan rumah dengan jaringan minit-minit akhir perlawanan.

Monaco memintas Nice menerusi kelebihan jaringan dan PSG yang dibimbing Unai Emery ketinggalan tiga mata dalam usaha mereka memenangi kejuaraan liga buat kali kelima berturut-turut.

Julian Draxler yang kembali pulih daripada kecederaan betis menggantikan Angel Di Maria dalam kesebelasan utama dan Adrien Rabiot pula menggantikan Marco Verrati yang diketepikan akibat kecederaan.

Pelawat hampir memerangkap PSG hanya dalam 30 saat selepas babak kedua bersambung apabila Falcao melepasi kawalan pertahanan PSG dan melakukan rembatan daripada dalam kotak penalti namun ditepis Kevin Trapp sebelum percubaan Thomas Lemar dihalang Rabiot.

Trapp mengalami kecederaan hamstring selepas menyelamatkan percubaan Lemar sehingga terpaksa dikeluarkan dan PSG membawa masuk penjaga gol gantian, Alphonse Areola.

Begitupun, PSG akhirnya mendahului permainan apabila Djibril Sidibe menjatuhkan Draxler di dalam kotak penalti dan Cavani tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pembukaan tuan rumah.

Monaco yang belum lagi tewas dalam tujuh kunjungan liga ke Paris terus mengasak dan akhirnya mengikat kedudukan apabila percubaan rendah Silva gagal ditangkap Areola untuk gol penyamaan pelawat. - AFP

Berita Harian X