Isnin, 30 Januari 2017 | 1:19pm

Perniagaan trak makanan di PD lebih tersusun

Datuk Tun Hairudin Abu Bakar (dua dari kiri, baju biru) berbual dengan pengunjung di Pantai Bagan Pinang.
Datuk Tun Hairudin Abu Bakar (dua dari kiri, baju biru) berbual dengan pengunjung di Pantai Bagan Pinang.

PORT DICKSON: Operasi perniagaan trak makanan di dua pantai peranginan di sini, akan dinaik taraf untuk meningkatkan imej daerah ini sebagai kawasan pelancongan utama Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar, berkata kira-kira 15 trak makanan kini beroperasi di Pantai Batu 4 dan Pantai Bagan Pinang.

Bagaimanapun, katanya aduan pengunjung di pantai peranginan itu menyebabkan kerajaan negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) melakukan perubahan terhadap operasi perniagaan itu.

"Antara aduan itu termasuk beroperasi di petak letak kereta dan kurang mengutamakan kebersihan," katanya ketika ditemui selepas melawat Pantai Bagan Pinang di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, berkata peniaga trak makanan di Pantai Batu 4 yang berniaga di tepi Jalan Pantai akan kekal berniaga di situ, tetapi tapak perniagaan di situ akan dinaik taraf.

Katanya, kawasan tepi jalan itu akan diperindahkan dan diletakkan papan tanda perniagaan trak makanan, manakala peniaga trak makanan di Pantai Bagan Pinang akan dipindahkan ke kawasan khas di situ, berbanding lokasi perniagaan sekarang di kawasan letak kereta.

Katanya, perubahan yang dilakukan itu bertujuan menjadi operasi perniagaan trak makanan lebih tersusun dari segi kebersihan dan keselamatan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X