Selasa, 31 Januari 2017 | 1:29pm

Saharul Ridzwan tunai umrah bersama isteri


Saharul Ridzwan bersama isterinya, Deena, sebelum berangkat ke tanah suci Makkah.

KUALA LUMPUR: Selepas didakwa kononnya terpaksa dipisahkan dengan isteri buat sementara waktu gara-gara gangguan makhluk halus, minggu lalu, pelakon Saharul Ridzwan, 28, membuktikan beliau ternyata sihat apabila dilihat sudah pun berangkat ke Tanah Suci, pagi tadi.

Menerusi mesej yang dikirim melalui aplikasi WhatsApp kepada BH Online, Saharul berkata, beliau akan mengerjakan ibadat umrah bersama isterinya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir.

"Assalamualaikum, saya dan isteri akan berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan ibadat Umrah, esok (hari ini).

"Di sini kami ingin memohon ampun dan maaf seikhlas hati ke atas semua salah silap (sengaja atau tidak sengaja) serta halalkan makan minum kami," katanya.

Saharul turut berharap peminat mendoakan urusan mereka sekeluarga dipermudahkan sepanjang berada di sana.

"Doakan saya dan isteri selamat sampai ke destinasi, selamat menunaikan ibadat umrah dengan sempurna dan dilindungi sepanjang kami berada di sana.

"Doakan juga kesihatan kami, dan dipanjangkan umur selama menunaikan ibadat. Semoga kami berdua mendapat umrah yang mabrur. Amin," ujarnya.

Dalam pada itu, tambah Saharul, beliau juga akan cuba menyampaikan kiriman doa peminat di hadapan kaabah.

Minggu lalu, pelakon ini menafikan dirinya terpaksa dipisahkan sementara daripada isteri selepas dikatakan terkena gangguan makhluk halus ketika menjayakan penggambaran telefilem, Trauma.

Ditemui pada acara tayangan telefilem DFKL 2017 di Petaling Jaya, Saharul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, nyata terkejut dengan dakwaan terbabit.

Katanya juga, rumah tangga dibina bersama wanita berkenaan, kira-kira empat bulan lalu, tidak pernah berhadapan sebarang masalah.

Sebelum itu, timbul dakwaan kononnya Saharul sering dirasuk ketika penggambaran telefilem berkenaan dan isterinya dinasihatkan untuk tinggal berasingan kerana bimbang dia mungkin akan bertindak di luar kawalan.

Berita Harian X