Rabu, 1 Februari 2017 | 8:59pm

Bolt sudah pulang pingat emas

USAIN Bolt selepas memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

SYDNEY: Jaguh pecut Jamaica, Usain Bolt pantas melupakan kehilangan pingat emas daripada koleksi Olimpiknya dan kini memberi tumpuan untuk kejayaan pada masa akan datang.

Bolt yang tiba di Australia hari ini untuk kejohanan Siri Olahraga Nitro, tidak mahu terlalu memikirkan nasibnya yang terpaksa menyerahkan salah satu daripada sembilan pingat emas miliknya.

"Pada awalnya saya kecewa, tetapi dalam hidup perkara sebegini berlaku," katanya selepas terpaksa menyerahkan pingat emas acara 4x100 meter yang dimenangi di Olimpik Beijing 2008 apabila rakan sepasukan, Nesta Carter didapati positif bahan terlarang.

"Saya tidak sedih, saya sedang menunggu apa yang akan dilakukan Nesta, sama ada dia mahu merayu. Saya sudah menyerahkan pingat saya tetapi fokus saya pada kejohanan ini sekarang."

Pemegang rekod dunia 100 meter itu akan mengepalai pasukan All Stars menentang pasukan dari Australia, China, Jepun, England dan New Zealand di Siri Olahraga Nitro yang akan berlangsung di Melbourne, Sabtu ini. - AFP

Berita Harian X