Rabu, 1 Februari 2017 | 9:43pm

SIC, MAM anjur anugerah hargai penggiat sukan permotoran


Datuk Razlan Razali.

SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan kerjasama Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) akan mengadakan anugerah bagi menghargai penggiat sukan permotoran negara, 13 Februari ini.

Dikenali sebagai 'Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2016', anugerah itu akan dibahagikan kepada 11 kategori termasuk anugerah utama iaitu Pelumba Terbaik bagi kedua-dua kategori (dua dan empat roda) serta anugerah Dewan Kemasyhuran.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali, berkata anugerah yang julung kali dianjurkan itu bagi menghargai individu yang banyak menyumbang terhadap pembangunan sukan permotoran selain mencipta kejayaan untuk Malaysia.

"Bagi saya sudah tiba masa kita hargai individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan sukan permotoran tidak kira individu, pasukan di negara ini sejak 1990-an sehingga sekarang, " katanya dalam kenyataan hari ini.

"Setahu saya, kita tidak pernah memiliki anugerah atau memberi penghargaan seperti ini. Bagi saya ia adalah satu sejarah."

Selain itu, Razlan berkata anugerah terbabit turut akan menjadi platform bagi sesiapa yang ingin menyalurkan sumbangan kepada MAM untuk perkembangan pembangunan sukan berkenaan di peringkat akar umbi.

Razlan berkata, penganjuran itu tercetus ketika beliau melawat United Kingdom dan badan induk di sana menganjurkan anugerah yang kemudian menjadi platform untuk mendapatkan sumbangan.

"Ini adalah tahun pertama namun saya berharap ia akan dapat dianjurkan pada setiap tahun," katanya.

Antara yang disenarai pendek bagi kategori dua roda ialah dua pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan Khairul Idham Pawi, pelumba Moto3, Adam Norrodin, pelumba WSBK, Zulfahmi Khairuddin dan juara Asia, Zaqhwan Zaidi.

Bagi kategori empat roda, antara yang tersenarai ialah Jazeman Jaafar yang beraksi dalam perlumbaan Blancpain GT Series, Nabil Jeffri (GP2) dan Akash Nandy (GP3).

Selain itu, dua anugerah untuk kategori penggiat media dalam arena sukan permotoran turut diadakan iaitu laporan terbaik dan gambar terbaik.

Pemenang setiap kategori dijangka akan membawa pulang trofi serta jam berharga lebih RM20,000.

Berita Harian X