;
Khamis, 2 Februari 2017 | 12:08pm

Surendran kurang teruja beraksi di stadium kosong


R Surendran

MELAKA: Penyerang Melaka United (MU), R Surendran mengakui kurang 'seronok' beraksi tanpa penyokong ketika perlawanan Liga Super membabitkan pasukan itu berdepan Perak di Stadium Ipoh, Sabtu ini.

Sebagai pemain bola sepak, pastinya mereka mahu kehadiran penyokong untuk memeriahkan suasana perlawanan namun ketiadaan 'pemain ke-12' kali ini dilihat kurang menarik buat Surendran dan keterujaan untuk beraksi seolah-olah hilang.

"Apapun kami akur dengan situasi semasa dan kami akan bermain sebaik mungkin, tambahan pula kami perlu mencari kemenangan pertama. MU sudah membuka tirai saingan dengan keputusan seri (1-1 dengan Selangor) dan meraih satu mata, kali ini kami perlukan tiga mata.

"Sebenarnya, situasi tanpa penyokong ini memberikan kami sedikit kelebihan berbanding tuan rumah, tetapi saingan tetap terbuka. Skuad The Bos Gaurus juga memiliki keistimewaan beraksi di gelanggang sendiri," katanya.

Surendran berkata, secara peribadi dia lebih teruja jika ada peminat yang menyaksikan perlawanan walaupun stadium dipenuhi penyokong tuan rumah sekalipun.

Menurutnya, ia berikutan kehadiran mereka mampu memberikan suntikan moral tinggi kepada pemain untuk memperaga persembahan terbaik sekali gus membuktikan sentuhan pemain yang berkualiti terutama di Liga Malaysia.

Mengikut tatacara perlawanan tanpa penonton, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) hanya membenarkan 10 wartawan dan 10 jurugambar membuat liputan perlawanan.

Setiap pasukan pula hanya dibenarkan membawa masuk 28 wakil iaitu 10 pegawai dan 18 pemain; diikuti seorang komisioner perlawanan, pemantau FMLLP/FAM (3), koordinator dan penolongnya, sekretariat (2) dan masing-masing seorang juruhebah, pegawai perubatan, pegawai media, keselamatan, pemasaran dan teknologi maklumat. 

Selain itu, 30 petugas stadium juga dibenarkan masuk iaitu polis, pasukan simpanan persekutuan (FRU), Ikatan Relawan Malaysia (RELA), Bomba dan Penyelamat dan Marsyal (mengikut ketetapan ketua Polis Daerah); petugas perubatan (doktor), pembantu perubatan dan pengusung (8); dua buah ambulans (4 petugas); pemungut bola (penyelia-1), (pemungut 10); pegawai perhubungan (3); krew penerbitan televisyen (9), krew penyiar rasmi (kurang 50 orang) serta pegawai perlawanan (5).

90 dibaca
Berita Harian X