Khamis, 2 Februari 2017 | 1:47pm

3 ditahan kes lelaki mati depan pasar borong

KUALA LUMPUR: Pemilik bengkel motosikal adalah antara tiga yang ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki ditemui mati di hadapan Pasar Borong Selayang dekat sini, Sabtu lalu.

Ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 31, 25 dan 24 tahun itu ditahan di sebuah bengkel motosikal di Kampung Tasik Permai, Ampang , kira-kira jam 9 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata awalnya pihak polis mengklasifikasikan kes mangsa sebagai kematian mengejut.

"Bagaimanapun, bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan akibat hentakan benda tumpul di belakang kepalanya.

"Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang pemilik bengkel motosikal dan dua pekerjanya termasuk seorang warga Myanmar," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Munusamy berkata, mangsa dipercaya dipukul dan kepalanya dihentak dengan topi keledar selepas cubaan untuk mencuri bateri motosikal di bengkel terbabit disedari ketiga-tiga suspek, petang Jumaat lalu.

Mangsa yang berasal dari Rawang dikatakan menunggang motosikal ke Pasar Borong Selayang dalam keadaan kesakitan sebelum ditemui mati kira-kira jam 9 pagi keesokannya.


MUNUSAMY menunjukkan gambar seorang daripada lima suspek kes bunuh seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah kelab malam di Solaris, Bukit Kiara di sini, Sabtu lalu. - Foto Supian Ahmad

Dalam kes berasingan, polis menahan suspek utama kes bunuh seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah kelab malam di Solaris, Bukit Kiara di sini, Sabtu lalu.

Suspek berusia 22 tahun dan berasal dari Taman Kantan Permai, Kajang itu ditahan di sebuah restoran di Taman Mutiara, Cheras di sini, kira-kira jam 2.45 pagi tadi.

"Penahanan suspek adalah hasil maklumat orang awam selepas kita menyebarkan gambarnya dengan bantuan media," katanya.

Sebelum ini, polis memburu lima lelaki berusia antara 21 tahun hingga 25 tahun yang dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis hiburan berkenaan, selain maklumat saksi kejadian.

Antara yang diburu itu adalah suspek utama dikenali sebagai Dhivyaprabu Panir Selvam.

Dalam kejadian 4 pagi itu, mangsa dikatakan terlanggar bahu seorang suspek yang berada di meja bersebelahan dalam premis berkenaan sebelum berlaku pergaduhan.

Kejadian turut mengakibatkan dua lagi rakan mangsa mengalami kecederaan.

Sebelum ini, lapan individu dipercayai daripada kumpulan yang mencederakan mangsa dan rakannya sudah ditahan.

Berita Harian X