Sabtu, 20 Disember 2014 | 3:14pm

Tempoh reman pasangan kekasih dipercayai Geng Mamak disambung


TEMPOH tahanan reman suspek dipercayai anggota Geng Mamak yang ditahan sepasukan polis di sebuah rumah pada pada 6 Disember lalu, dilanjutkan enam hari lagi oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

IPOH: Tempoh tahanan reman pasangan kekasih dipercayaianggota Geng Mamak yang ditahan pada 6 Disember lalu, dilanjutkan enam hari lagi bermula hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

"Perintah reman mereka berakhir semalam dan kita mendapatkan perintah daripada mahkamah untuk sambung reman bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


TEMPOH tahanan reman suspek wanita yang dipercayai kekasih kepada anggota Geng Mamak yang ditahan sepasukan polis di sebuah rumah pada pada 6 Disember lalu, dilanjutkan enam hari lagi oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

Suspek lelaki yang berusia 52 tahun itu berasal dari Kampung Stesen, Kuala Kangsar, bersama-sama teman wanitanya yang berusia 33 tahun ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Desa, Kampung Tawas di sini pada 6.20 petang 6 Disember lalu.

Dalam kejadian itu polis turut merampas dua kereta Proton Perdana dan Honda Civic, satu vest polis dan peralatan pecah rumah.

Suspek lelaki yang positif dadah itu mempunyai 25 rekod jenayah lampau seperti samun, pecah rumah, serta rekod dikehendaki di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka manakala wanita yang berasal dari Sungai Siput itu juga positif dadah. - BERNAMA

Berita Harian X