Khamis, 2 Februari 2017 | 8:42pm

MABHackathon tawar hadiah utama RM20,000


KETUA Pegawai Maklumat Malaysia Airlines, Tan Kok Meng ketika sidang media berhubung penganjuran MABHackhaton 2017 di Sepang, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Malaysia Airlines Bhd menawarkan hadiah menarik termasuk wang tunai RM20,000 serta tiket penerbangan pergi-balik ke London sempena pertandingan MABHackathon yang julung kali dianjurkannya pada 18 dan 19 Februari ini.

Ia menjadi syarikat penerbangan pertama di negara ini menganjurkan pertandingan seumpama itu bagi menggalakkan pengatur cara, pemaju dan pereka kreatif untuk membangunkan aplikasi inovatif yang dapat meningkatkan pengalaman pengguna Malaysia Airlines serta memantapkan kecekapan operasinya.

Ketua Pegawai Maklumat MAB, Tan Kok Meng, berkata penganjuran MABHackathon sejajar langkah transformasi digital syarikat penerbangan berkenaan menerusi pendigitalan dan inovasi yang memberi tumpuan dalam pengkomputeran berawan, data besar dan mobiliti.

Beliau berkata, sejak permohonan penyertaan pertandingan itu dibuka 11 hingga 25 Januari lalu, kira-kira 700 peserta terdiri daripada pelajar universiti, syarikat permulaan dan rakan kongsi perniagaan mendaftar untuk menyertai pertandingan berkenaan.

"Sebanyak 20 pasukan akan bersaing pada 18 dan 19 Februari ini bagi membangunkan prototaip aplikasi mudah alih inovatif yang dapat meningkatkan pengalaman penumpang serta kecekapan operasi kami," katanya pada taklimat media mengenai pertandingan itu di sini, petang ini.

Kok Meng berkata, hadiah utama pertandingan MABHackathon adalah wang tunai bernilai RM20,000 serta tiket penerbangan ekonomi pergi-balik ke London.

Hadiah kedua pula adalah RM15,000 serta tiket penerbangan ekonomi pergi-balik ke Sydney manakala pemenang tempat ketiga membawa pulang RM10,000 serta tiket penerbangan ekonomi pergi-balik ke Seoul.

Beliau berkata, pemenang MABHackathon juga berpeluang menyertai Cabaran Aplikasi Besar Nasional 4.0 yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta program inkubator tiga bulan di Makmal Inovasi Malaysia Airlines.

"MABHackathon dianjurkan bagi menyediakan peluang kepada komuniti digital untuk menyumbang dan bekerjasama dengan kami dalam meningkatkan pengalaman pengguna menerusi pengenalan pelbagai penyelesaian inovatif," katanya.

INFO

Pertandingan MABHackathon

* Bertujuan memacu inovasi dan kreativiti di kalangan bakat dalaman dan komuniti inovasi di Malaysia

* Terbuka kepada rakyat Malaysia berumur sekurang-kurangnya 18 tahun ke atas

Berita Harian X