Khamis, 2 Februari 2017 | 10:28pm

Suami isteri rakyat Iran akhirnya dibenar ke AS lawat anak

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Schiphol, Amsterdam.
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Schiphol, Amsterdam.

THE HAGUE: Sepasang suami isteri warga Iran akhirnya dibenarkan menaiki penerbangan ke Amerika Syarikat (AS) selepas lima hari 'terkandas' di Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, Amsterdam.

Warga emas dikenali Abdolghasem Eshaghi, 68 dan isterinya, Kobra Alizadeh, 58, dikatakan tersadai di lapangan terbang berkenaan sejak Sabtu lalu.

Mereka dalam perjalanan dari Tehran ke negara Uncle Sam itu apabila Presiden Donald Trump mengeluarkan larangan memasuki AS kepada rakyat tujuh negara termasuk Iran.

Jurucakap KLM, Manel Verijenhoek berkata, kebenaran memasuki AS akhirnya diberi kepada pasangan itu selepas beberapa rayuan dibuat kepada Jabatan Kastam AS dan pihak berkuasa Perlindungan Sempadan.

"Mereka berlepas ke AS dengan menaiki pesawat KLM lewat malam ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi penjelasan lanjut berhubung kebenaran itu manakala jurucakap Kedutaan AS di sini berkata, mereka tidak boleh memberi komen kes individu.

Menurut saudara pasangan di Tehran, warga emas itu dalam perjalanan melawat anak perempuan mereka di Washington DC yang bekerja dan menuntut dalam bidang sains komputer selama lima tahun.

Pasangan itu adalah antara enam rakyat Iran yang tersadai di Lapangan Terbang Schiphol selepas larangan Trump dikuatkuasakan sebelum mereka sempat menaiki penerbangan seterusnya ke AS. -AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X