Jumaat, 3 Februari 2017 | 8:20am

Trump dikecam kerana guna rumah ibadat untuk politik


TRUMP berikrar membebaskan gereja dan institusi dikecualikan cukai daripada larangan untuk terbabit dalam aktiviti politik. - Foto Reuters

WASHINGTON: Presiden Donald Trump berikrar membebaskan gereja dan institusi dikecualikan cukai daripada larangan untuk terbabit dalam aktiviti politik, sekali gus mengundang kecaman pelbagai pihak.

Pengkritik mendakwa tindakan itu diambil sebagai ganjaran kepada penganut Kristian yang menyokong pemilihannya dan cubaan Trump untuk menjadikan rumah ibadat itu sebagai alat politik.

Beliau dilaporkan berkata demikian di hadapan ahli politik Amerika Syarikat, pemimpin agama dan tetamu negara termasuk Raja Abdullah dari Jordan pada satu pertemuan.

Pada majlis itu, Trump turut mencemuh pelakon Arnold Schwarzenegger, penggantinya dalam rancangan realiti televisyen, Celebrity Apprentice, berikutan penurunan jumlah penonton.

Trump turut mendakwa hampir semua negara di dunia mengambil kesempatan ke atas Amerika Syarikat.

Beliau berkata demikian ketika menyentuh mengenai Pindaan Johnson yang melarang pertubuhan dikecualikan cukai seperti gereja dan lain-lain rumah ibadat, institusi kebajikan dan pendidikan daripada secara langsung atau tidak langsung terbabit dalam kempen politik, baik menyokong mahu pun menentang calon politik.

"Saya akan membatalkan Pindaan Johnson dan membenarkan wakil agama bercakap secara bebas tanpa takut kepada hukuman. Saya akan melakukannya," kata Trump.

Sebelum ini, Trump membantah pindaan itu ketika berkempen dan mendapat sokongan pemimpin Kristian termasuk Presiden Universiti Liberty, Jerry Falwell Jr.

Pindaan dalam undang-undang itu memerlukan tindakan di Kongres yang dikuasai Republikan dan Rabu lalu, ahli perundangan parti itu memperkenalkan langkah yang akan mengubah dasar itu.

Berikutan kenyataan itu, Speaker Dewan Perwakilan Republikan, Paul Ryan, memberitahu menyokong pemansuhan Pindaan Johnson.

Bagaimanapun, pengkritik termasuk kumpulan Americans United for Separation Church and State menyuarakan kebimbangan berhubung perkara itu.

"Presiden Donald Trump dan sekutunya dalam agama mahu menjadikan rumah ibadat di negara ini sebagai jawatankuasa tindakan politik.

"Ia juga akan menyebabkan rumah ibadat memberi tumpuan kepada usaha untuk mendapatkan sokongan calon bagi meraih bantuan kewangan dan lain-lain. Ia bakal menjadi bencana kepada gereja dan politik di negara ini," kata Pengarah Eksekutif Kumpulan itu, Barry Lynn. - Reuters

Berita Harian X