Jumaat, 3 Februari 2017 | 2:15pm

AS komited kekal kuasa tentera di Asia


SETIAUSAHA Pertahanan AS, James Mattis (kiri) dan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Han Min-Koo tabik hormat kepada bendera kebangsaan di Kementerian Pertahanan di Seoul, Korea Selatan. - Foto REUTERS

SEOUL: Sebarang serangan nuklear yang dilancarkan Korea Utara akan mencetuskan tindak balas efektif dan kuat, kata Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), James Mattis, di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Amerika Syarikat cuba meyakinkan sekutunya di Asia susulan pelantikan Presiden Donald Trump.

Lawatan Mattis ke Korea Selatan sebelum mengunjungi Jepun, adalah yang pertama membabitkan pegawai kanan pentadbiran Trump ketika kebimbangan memuncak mengenai arah dasar Amerika Syarikat di rantau itu.

Ketika berkempen, Trump mengancam mengundurkan tenteranya dari kedua-dua negara jika mereka tidak meningkatkan bantuan kewangan.

Kira-kira 28,500 tentera AS kini berada di Seoul untuk memperkuatkan pasukan pertahanan negara itu daripada ancaman jirannya, Korea Utara, manakala 47,000 lagi tentera ditempatkan di Jepun.

"Serangan ke atas Amerika Syarikat atau sekutu kami akan dipatahkan dan penggunaan senjata nuklear akan dibalas dengan berkesan dan kuat," kata Mattis kepada wartawan menjelang pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Han Min-Koo.

Beliau berada di Seoul untuk menggariskan kepentingan komitmen Amerika Syarikat kepada pakatan dua hala.

Ia juga bertujuan menunjukkan komitmen penuh pentadbiran Trump bagi mempertahankan demokrasi Korea Selatan.

Korea Utara melancarkan dua ujian atom dan beberapa siri pelancaran peluru berpandu tahun lalu, sekali gus meningkatkan ketegangan di rantau itu.

Dalam ucapan sempena tahun baharu, pemimpin rejim komunis itu, Kim Jong-Un, berkata Pyongyang dalam fasa akhir membangunkan peluru berpandu balistik antara benua, mendorong Trump menulis dalam Twitter: "Ia tidak akan berlaku." - AFP

Berita Harian X