Jumaat, 3 Februari 2017 | 11:31pm

Liga Perdana: NS bangkit benam PKNP FC


PEMAIN Negeri Sembilan, Lee Andrew Tuck (kanan) diasak pemain PKNP FC, Sarkunan Vikneswaran pada Perlawanan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Skuad Negeri Sembilan melebarkan rekod kemenangan di laman sendiri apabila berjaya menewaskan pendatang baharu, PKNP FC, 3-1, dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Beraksi di atas padang lembap susulan hujan pada sebelah petang, tidak menjejaskan kedua-dua pasukan untuk mempamerkan aksi bertenaga.

Terdahulu, Negeri Sembilan bermula baik apabila melakukan beberapa asakan ke kubu PKNP FC sebaik perlawanan dimulakan terutama menerusi gandingan penyerang Bruno Suzuki dengan Simic Marko, tetapi pertahanan pelawat bertindak agresif menafikan percubaan yang dilakukan itu.

Pada minit ke sembilan, pintu gol tuan rumah diuji menerusi percubaan Gilberto Valdenesio dari luar kotak penalti, namun penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Kaharuddin Abd Rahman yang diberikan kepercayaan berada pada posisi tepat menyelamatkan percubaan itu.

Skuad Hobin Jang Hobin yang bertekad mempertahankan kelebihan terus melakukan serangan ke kubu pelawat dan peluang berada di depan hampir menjadi apabila tendangan deras Mohd Noor Hazrul Mustapa dari jarak kira-kira 30 meter, sekadar terkena tiang gol sebelah kanan.

Bagaimanapun, pada minit ke-33, pintu gol tuan rumah cemas seketika apabila anak buah Abu Bakar Fadzim melakukan serangan balas, namun dua percubaan menerusi Valdenesio dan Muhammad Shahrel Fikri berjaya ditepis Kaharuddin.

Bagaimanapun, pintu gol Negeri Sembilan akhirnya bolos menerusi jaringan M Ganesan pada minit ke-37, yang menanduk masuk bola hantaran lintang Muhammad Ezanie Mat Salleh.

Jaringan itu jelas memberi tekanan kepada anak buah Mohd Asri Ninggal yang masih gagal menembusi benteng lawan dan mereka dilihat terus berusaha bagi memburu gol penyamaan, tetapi usaha Mohd Noor Hazrul yang beraksi lincah sehingga berjaya melepasi dua pertahanan lawan, gagal menyepak tepat ke dalam gawang pada minit ke-42.

Asri yang mengesan kelemahan di bahagian benteng mengeluarkan Khairul Anwar Shahrudin dan memasukkan Annas Rahmat sebaik babak kedua bersambung.

Kemasukan Annas nyata membuahkan hasil apabila dia berjaya menjaringkan gol penyamaan Negeri Sembilan pada minit ke-49, menerusi tandukan hasil tendangan sudut yang diambil Andrew Tuck, sekali gus menewaskan penjaga gol PKNP FC, Ahmad Asyraaf Omar.

Jaringan itu membakar semangat pemain Negeri Sembilan dan usaha mereka mencari gol kedua berhasil apabila Lawrence Singh menanduk masuk bola hasil sepakan sudut Andrew Tuck, pada minit ke-65.

Suzuki kemudiannya mengukuhkan lagi cengkaman tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-73, selepas dia bertindak bijak menyambar bola hantaran lintang Mohd Noor Hazrul.

Pasukan pelawat terus menerima tekanan apabila pada minit ke-87, Mohammad Ezanie diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil Muhammad Rahmat Jantan.

Usaha mereka untuk bangkit mengikat kedudukan nyata tidak berhasil apabila kedudukan 3-1 itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Berita Harian X