Sabtu, 4 Februari 2017 | 12:10am

Vaksin terbaharu cegah penyakit kelamin


Virus HPV boleh dicegah dengan suntikan vaksin.

KANAK-KANAK lelaki dan lelaki dewasa kini boleh mengambil vaksin untuk mencegah barah dubur (anus) menerusi vaksin Human Papillomavirus (HPV) 9 valen yang baharu.

Dikenali sebagai Gardasil9, iaitu jenis vaksin yang berupaya melindungi paling banyak jenis jangkitan HPV berbanding vaksin sebelum ini yang bukan saja untuk wanita tetapi juga lelaki.

HPV dikenal pasti sebagai punca utama barah pangkal rahim (kanser serviks) dalam kalangan gadis dan wanita tetapi bagi golongan lelaki ia boleh menyebabkan barah anus.

Gardasil9 yang dikeluarkan oleh Merck Sharp & Dohme (Malaysia) Sdn Bhd (MSD), adalah untuk kegunaan gadis dan wanita berusia antara 9 hingga 45 tahun.

Pengambilannya bertujuan mencegah kanser serviks, bibir kemaluan (vulva), dan faraj (vagina) yang disebabkan oleh HPV jenis 16, 18, 31, 33, 45, 52 dan 58 serta ketuat genital yang disebabkan oleh HPV jenis 6 dan 11.

Diluluskan untuk kegunaan kanak-kanak dan dewasa lelaki serta perempuan yang berusia antara sembilan hingga 26 tahun bertujuan mencegah barah anus yang disebabkan HPV Jenis 16, 18, 31, 33, 45, 52 dan 58.


PAKAR Perunding Onkologi Ginekologi, Dr Suresh Kumarasamy. - Foto Shiraz Ali

Sesuai untuk lelaki berusia sembilan hingga 26 tahun

Vaksin ini juga boleh digunakan oleh lelaki yang berusia antara sembilan hingga 26 tahun untuk mencegah prakanser atau displasia yang disebabkan oleh HPV jenis 6, 11, 16, 18, 31, 33, 45, 52 dan 58. Pengambilannya juga berupaya mencegah ketuat genital yang disebabkan oleh HPV jenis 6 dan 111.

Pakar Perunding Onkologi Ginekologi, Dr Suresh Kumarasamy, berkata HPV adalah virus yang lazim ditemui dan menjejaskan kehidupan pesakitnya.

"Pemvaksinan masih menjadi kaedah paling berkesan mencegah penyakit berkait HPV. Dengan adanya Gardasil9, kira-kira 90 peratus kes kanser serviks yang disebabkan oleh HPV2 dapat dicegah. Usaha ini dapat mengurangkan beban penyakit ini di negara ini," katanya.

Pakar Perunding Onkologi Ginekologi, Profesor Woo Yin Ling, berkata selain HPV jenis 16 dan 18, lima jenis tambahan HPV di dalam Gardasil adalah jenis lazim menyebabkan kanser serviks di dunia dan di Malaysia.


PAKAR Perunding Onkologi Ginekologi, Profesor Woo Yin Ling. - Foto Shiraz Ali

"Jenis 52 dan 58 khususnya adalah jenis HPV paling lazim menjangkiti wanita di Malaysia dan kanser serviks adalah jenis kanser kedua menyerang wanita.

"Pencegahan penyakit ini perlu ditingkatkan melalui pemvaksinan dan penyaringan tetap untuk mengurangkan risiko serangan," katanya.

Kajian klinikal membabitkan lebih 15,000 peserta antara usia sembilan hingga 26 tahun mendapati, Gardasil9 menunjukkan kemujaraban yang tinggi terhadap lima jenis tambahan HPV, iaitu jenis 31, 33, 45, 52 dan 581.

INFO

* Jangkitan berterusan oleh HPV boleh menyebabkan pra kanser.

* Ia mengambil masa 15 sehingga 20 tahun untuk menjadi kanser serviks selepas jangkitan HPV.

* Lebih 40 jenis HPV boleh menjangkiti kelamin atau organ seks wanita dan lelaki.

Jenis HPV:

* HPV jenis 6 dan 11 menyebabkan 90 peratus ketuat kelamin.

* HPV jenis 16, 18, 31, 33, 45, 52 dan 58 boleh menyebabkan barah dan penyakit:

- 90 peratus semua kanser serviks.

- 90-95 peratus semua kanser anus.

- 90 peratus barah vulva.

- 90 peratus ketuat kelamin.

Di Malaysia

- Jenis 52 dan 58 HPV paling lazim ditemui dalam kalangan wanita.

Berita Harian X