Sabtu, 4 Februari 2017 | 1:02pm

Delegasi ekonomi negara ke Iran, India

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong akan mengetuai Misi Ekonomi dan Teknikal Sawit, Kayu-Kayan dan Getah ke Iran dan India bermula esok hingga 9 Februari ini.

Delegasi turut disertai pegawai kanan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan wakil sektor swasta.


MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, misi lima hari itu bertujuan menggalak dan memperkukuhkan eksport produk sawit, kayu-kayan dan getah ke Iran dan India, selain memperkukuh jaringan perniagaan antara sektor swasta Malaysia dengan sektor swasta di Iran dan India.

Selain itu, ia juga bagi merasmikan Pejabat Serantau MPOB dan Seminar dan Pameran Dagangan Minyak Sawit (POTS) 2017 di Tehran, Iran serta Seminar Perhubungan Minyak Sawit di Mumbai, India dan mengadakan perbincangan dua hala dengan menteri yang bertanggungjawab bagi Perdagangan, Pertanian dan Kesihatan di Iran.

"Ketika di Iran, Menteri akan mengadakan perbincangan dua hala dengan sektor swasta di Iran, termasuk Tehran Timber Importers dan pengimport utama produk sawit serta kayu-kayan.

"Ia bertujuan menggalakkan eksport produk sawit, kayu-kayan dan getah di samping memperkukuhkan jaringan sektor swasta," menurut kenyataan itu.

Siew Keong juga akan merasmikan POTS Iran 2017 yang antara lain bertujuan menyampaikan maklumat terkini mengenai khasiat minyak sawit.

"Menteri juga akan mengadakan perbincangan dua hala bersama menteri Iran termasuklah Menteri Pertaniannya, Mahmoud Hojjati dan Menteri Industri, Perlombongan dan Perdagangan, Mohamad Reza Ne'matzadeh.

"Perbincangan dua hala ini akan tertumpu kepada antara lain isu-isu berkaitan dengan keselamatan dan khasiat nutrisi minyak sawit dan lain-lain bidang untuk memperkukuhkan perdagangan dua hala," katanya.

Dalam lawatan ke India pada Rabu ini, Siew Keong akan mengadakan perbincangan dua hala bersama The Solvent Extractor's Association of India.

"Perbincangan akan memberi fokus kepada bidang memperkukuhkan perdagangan minyak sawit. Menteri juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Menteri Maharastra untuk meninjau bidang kerjasama," katanya.

Berita Harian X