Sabtu, 4 Februari 2017 | 2:45pm

Mah ketuai misi ekonomi ke Iran, India


MENTERI Sementara bagi Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong akan mengetuai Misi Ekonomi dan Teknikal Mengenai Minyak Sawit, Produk Kayu dan Getah ke Iran dan India mulai 5 hingga 9 Februari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, delegasi berkenaan akan terdiri daripada wakil kementerian itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia, Lembaga Getah Malaysia, Majlis Perkayuan Malaysia serta sektor swasta.

"Misi itu bertujuan mempromosi dan mengukuhkan eksport minyak sawit, produk kayu dan getah ke Iran dan India serta memantapkan hubungan perniagaan antara sektor swasta kedua-dua negara dengan Malaysia," katanya.

Kementerian itu berkata, Mah akan merasmikan pembukaan pejabat serantau MPOB serta Pesta Dagangan dan Seminar Minyak Sawit (POTS Iran 2017) di Teheran, Iran dan Seminar Rangkaian Minyak Sawit di Mumbai, India.

"Ia akan mengadakan perbincangan dua hala dengan menteri bertanggungjawab untuk perdagangan, pertanian serta kesihatan di Iran ketika lawatan mulai 5 hingga 7 Februari," katanya.

Kementerian itu berkata, mesyuarat berkenaan akan memberi tumpuan kepada pelbagai isu, termasuk keselamatan dan faedah pemakanan minyak sawit dan beberapa bidang kerjasama bagi mengukuhkan dagangan dua hala.

Sementara itu, ketika lawatan ke India pada 8 Februari, Mah akan merasmikan Seminar Rangkaian Minyak Sawit dan mengadakan perbincangan meja bulat dengan Persatuan Pengekstrak Pelarut India.

"Mesyuarat terbabit akan memberi tumpuan ke atas pelbagai bidang bagi mengukuhkan perdagangan minyak sawit," katanya.

Bagi tempoh Januari hingga November 2016, jumlah dagangan dengan Iran bernilai RM2.59 bilion.

Jumlah eksport bernilai RM1.97 bilion dan daripada jumlah itu, produk komoditi menyumbang RM1.55 bilion, atau 78.7 peratus daripada jumlah eksport. Produk komoditi utama yang dieksport dalam tempoh sama adalah produk minyak sawit yang bernilai RM1.21 bilion, produk perkayuan (RM33.76 juta) dan produk getah, RM268.94 juta.

Untuk India, bagi tempoh Januari hingga November 2016, jumlah dagangan bernilai RM44.48 bilion.

Jumlah eksport bernilai RM29.24 bilion dan daripada jumlah itu, produk komoditi menyumbang RM9.57 bilion atau 32.7 peratus.

Produk komoditi terbesar yang dieksport bagi tempoh sama ialah produk minyak sawit (RM7.8 bilion), produk kayu (RM1.42 bilion) dan produk getah, RM279.53 juta). - BERNAMA

Berita Harian X