Sabtu, 4 Februari 2017 | 9:06pm

PKNS kejutkan Selangor dalam pesta gol di Shah Alam

Pemain PKNS, (dari kiri); Matias Hadwa, Patrick Ronaldinho dan Safee Sali meraikan gol ketiga PKNS oleh patrick ketika menentang Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam. - Foto NSTP/Osman Adnan
Pemain PKNS, (dari kiri); Matias Hadwa, Patrick Ronaldinho dan Safee Sali meraikan gol ketiga PKNS oleh patrick ketika menentang Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam. - Foto NSTP/Osman Adnan

SHAH ALAM: PKNS FC mencipta kejutan apabila menewaskan Selangor 5-3 dalam pesta gol saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, di sini, yang berakhir sebentar tadi.

Begitupun, The Red Giants lebih dulu berada di depan dalam aksi `abang adik' ini, apabila mendahului permainan pada minit pertama menerusi Muhammad Syahmi Safari.

Anak buah E Elavarasan bangkit dengan dua gol dalam tempoh lima minit - bermula dengan jaringan penyamaan oleh Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-20, dan diikuti Safee Sali, lima minit kemudian.

Kedudukan itu hanya bertahan tiga minit apabila Francis Forkey Doe kembali menyamakan kedudukan.

Namun Ronaldinho Wleh bijak manfaatkan kelebihan fizikal dimiliki untuk meledak gol ketiga PKNS pada minit ke-43 bagi menjadikan kedudukan 3-2.

Bersambung babak kedua, PKNS hanya memerlukan dua minit untuk menambah jaringan.

Dan kali ini menerusi Matias Hadwa. Namun pada minit ke-55, kesilapan Mohamad Azmi Muslim membuka peluang buat Forkey Doe menolak masuk gol ketiga The Red Giants.

Berselang tiga minit kemudian, kecuaian benteng Selangor membolehkan Ronaldinho Wleh melengkapkan hatrik.

Permainan kemudian terpaksa dihentikan kira-kira 10 minit selepas pemain PKNS mempertikaikan keputusan pengadil yang membenarkan kemasukan Adam Nor Azlin ketika pemain yang digantikan, Mohd Raimi Md Nor dilayangkan kad merah gara-gara dikesan membaling bola ke arah pemain lawan sebelum dikeluarkan.

Selepas itu, aksi berlangsung agak tegang namun tiada tambahan gol terhasil. Keputusan kekal 5-3 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Sementara itu, Elavarasan yang ditemui berterima kasih kepada Ronaldinho Wleh yang mempamerkan sentuhan berbisa dengan merakam hatrik bagi membantu PKNS membawa pulang tiga mata berharga.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X