Sabtu, 4 Februari 2017 | 11:00pm

Arsenal tersungkur di Stamford Bridge

PEMAIN Chelsea, Cesc Febregas (kiri) bersama rakan sepasukan, penyerang Diego Costa meraikan kejayaan berjaya membolosi gawang Arsenal pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Chelsea, Cesc Febregas (kiri) bersama rakan sepasukan, penyerang Diego Costa meraikan kejayaan berjaya membolosi gawang Arsenal pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi. - Foto Reuters

LONDON: Chelsea terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Arsenal 3-1 di Stamford Bridge, di sini, sebentar tadi.

Skuad The Blues kini mempunyai kelebihan 12 mata ke atas The Gunners yang sebelum perlawanan berkongsi jumlah mata sama dengan penghuni tangga kedua, Tottenham Hotspur - sembilan mata di belakang pendahulu itu.

Arsenal yang beraksi tanpa kelibat pengendalinya, Arsene Wenger yang digantung empat perlawanan, bermula baik apabila menembusi benteng Chelsea seawal minit kedua, namun sepakan leret Alex Iwobi tersasar ke kiri gawang.

Tuan rumah bagaimanapun kembali mendapat rentak dan bermula dengan hantaran lintang Pedro yang ditanduk Diego Costa pada minit ke-13, tetapi bola terkena palang dan melantun semula ke dalam kotak penalti sebelum ditanduk masuk oleh Marcos Alonso.

Bersambung babak kedua, Chelsea tidak menunggu lama untuk memastikan jarak lebih selesa apabila Eden Hazard menambah jaringan pada minit ke-53 menerusi gerakan solo dari tengah padang.

Bekas kapten Arsenal, Cesc Fabregas yang dimasukkan oleh Antonio Conte pada minit ke-84 menggantikan Hazard, meledak gol ketiga Chelsea dengan melambung bola melepasi Petr Cech yang keluar dari kawasannya.

Dia bagaimanapun tidak meraikan jaringannya bagi menghormati kelab lamanya itu.

Gol sagu hati Arsenal dijaringkan pemain gantian, Olivier Giroud dalam masa kecederaan. - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X