Ahad, 5 Februari 2017 | 12:01am

Fazura cerewet pasal jodoh

KUALA LUMPUR: Lelaki bersikap tenang, tidak terlalu gelojoh dan pandai menghormati wanita, antara kriteria lelaki pilihan aktres terkenal, Nur Fazura Sharifuddin @ Fazura untuk dijadikan suami.

Menurut Fazura, bukan mudah baginya untuk menerima cinta seorang lelaki, bagaimanapun beliau menerima ketentuan Illahi seperti yang tertulis di Loh Mahfuz.

"Jangan baru pertama kali berjumpa, sudah berani hendak pegang-pegang. Belum apa-apa, sudah mengaku saya teman wanitanya... Relakslah, jangan kelam-kabut sangat.

"Sejujurnya, di sampai saat ini, memang tiada lelaki yang berani mendekati saya. Mungkin status selebriti, membuatkan mereka takut.

"Bukan tiada lelaki yang cuba mendekati, namun terlalu sibuk dengan jadual yang ketat, membataskan saya untuk bertemu," jelas aktres jelita berkenaan kepada BH Plus.


PENYANYI, Fazura pada sidang media Universal Music X Fazura di Hotel Le Meridian. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Fazura yang mula dikenali menerusi filem Bicara Hati, mengakui dirinya tidak pernah risau atau khuatir kerana masih hidup bersendirian. Walhal, situasi itu bagai cukup janggal di mata khalayak.

Fazura sudah memiliki segala-galanya seperti kerjaya seni yang semakin berkembang, perniagaan yang mampu menjamin masa depan selain kemasyhuran. Bagaimanapun, soal lelaki amat cerewet.

"Sebagai wanita berdikari dan memiliki semangat juang yang kental, tidak salah seandainya saya begitu memeilih dalam soal teman hidup," katanya.

Terharu sikap pertahankan Islam

Ketika empunya diri mengaku masih solo, tiba-tiba kecoh di laman sosial apabila Fazura didakwa menjalin hubungan cinta dengan jejaka Inggeris, Randy Seidman.


Fazura didakwa menjalin hubungan cinta dengan jejaka Inggeris, Randy Seidman.

Segala-galanya berpunca apabila jejaka itu merujuk Fazura dengan gelaran 'girlfriend' atau teman wanita. Panggilan mesra itu dapat dilihat menerusi video berdurasi 10 minit yang menyaksikan Seidman mempersoalkan tindakan melarang umat Islam dari tujuh negara memasuki Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan Presiden Donald Trump, baru-baru ini.

Menyifatkan panggilan 'girlfriend' sebagai sesuatu yang normal bagi masyarakat AS, Fazura menafikan lelaki yang dikenalinya sejak lima tahun itu sebagai kekasihnya.

"Saya tidak menafikan Siedman mempunyai ciri-ciri lelaki yang saya suka iaitu menghormati orang lain. Tapi ada juga rakan lelaki lain memiliki ciri-ciri sama seperti sayangkan haiwan," katanya cuba mengelak soalan yang boleh menjerat dirinya.

Diusik dengan pertanyaan apakah dia sudi menerima Seidman yang juga seorang deejay, mengisi ruang hatinya, Fazura berkata, dia tidak pernah menolak sesuatu yang sudah ditakdirkan untuknya.

"Saya menerima sesiapa saja yang ditakdirkan Allah untuk menjadi teman hidup, asalkan dia baik untuk saya dan agama saya. Tak kiralah apapun bangsanya.


PENYANYI, Fazura pada sidang media Universal Music X Fazura di Hotel Le Meridian. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya akui sangat terharu apabila dia (Seidman) sanggup mempertahankan agama Islam dan penganutnya apabila dia mempersoalkan larangan itu," kata pemegang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27 ini.

Diikat kontrak tiga tahun

Fazura mencatat satu lagi sejarah peribadi dalam kerjaya seni apabila dipilih bernaung di bawah label antarabangsa, Universal Music (UM). Ini bermakna, segala urusan nyanyian, lakonan dan perlantikan duta produk diuruskan syarikat gergasi berkenaan.

"Sebelum ini, ada syarikat rakaman yang menawarkan saya bernaung di bawah label mereka, bagaimanapun terpaksa ditolak kerana mereka hanya mahu menguruskan kerjaya nyanyian saya.

"Justeru, apabila UM menawarkan untuk menguruskan karier saya 360 darjah, saya terima tawaran itu. Antaranya rakaman lagu, Nothing Like Pag Ibiq iaitu berduet bersama penyanyi Filipina, Jason Dy.


Fazura berucap pada majlis mengumumkannya sebagai artis di bawah label Universal Music selama tiga tahun.

"Begitu juga video muzik lagu berkenaan sudah dihasilkan dan hanya menunggu masa untuk ditayangkan. Harapan saya menerusi kerjasama ini, dapat mengembangkan lagi sayap saya hingga ke peringkat yang lebih jauh iaitu Hollywood," katanya.

Fazura dijangka membintangi sebuah filem terbitan Filipina tidak lama lagi, ekoran selepas berjaya meraih populariti di negara itu melalui program realitinya, Facing Up To Fazura.

Teringin beraksi di pentas Broadway

Bukan sekadar mahu menjadi jaguh kampung, Fazura juga meletakkan impian yang cukup besar iaitu mahu membabitkan dalam dunia Broadway.

"Peluang melihat pementasan Kinky Boots ketika bercuti di New York awal tahun lalu, menguatkan lagi keinginannya berada di pentas itu. Dengan bakat lakonan dan nyanyian, saya teruja untuk menyatukan keduanya dalam dunia Broadway.

"Saya ada berkomunikasi dengan pelakon Broadway di laman sosial. Apabila mengetahui saya seorang pelakon, mereka menawarkan saya untuk terbabit dalam dunia muzikal itu.


Program TV yang dikendali Fazura, Facing Up To Fazura.

"Walaupun pada hakikatnya berasa gementar, sekiranya diberi peluang saya akan mencuba. Ia impian paling besar pernah saya idamkan.

"Mungkin apabila hajat itu tertunai, barulah saya akan fikirkan untuk berumah tangga serta tukar lampin bayi," katanya sambil tertawa.

Album baharu selepas Aidilfitri

Mengenai pembikinan album sulungnya yang pernah diperkatakan sebelum ini, anak kelahiran Pekan, Pahang itu berkata, beliau sudah menerima lagu daripada komposer tempatan dan luar negara.

"Antaranya ialah Rich Estranged, Alwyn Santiago, Ahmad Dhani, Numata dan Irfan yang juga gitaris kumpulan Samson. Mereka banyak membimbing saya menjadi seorang penyanyi yang baik.

"Jika tiada aral, album yang mengandungi lapan lagu itu bakal dipasarkan selepas Aidilfitri nanti," katanya.

Menceritakan pengalamannya yang menyanyi tidak mengikut nada suara yang betul seperti dalam lagu Sayangi Dirimu, Fazura mengakui ditegur serta diberi bimbingan komposer.

"Dengan bimbingan dan panduan mereka, kini saya lebih yakin. Saya juga bercadang hendak merakamkan lagu Sayangi Dirimu, yang akan dibuat dalam bentuk akustik," katanya yang bakal muncul dengan filem aksi pertamanya, J Revolusi, Mac ini.


PENYANYI, Fazura pada sidang media Universal Music X Fazura di Hotel Le Meridian. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Info;
Nama : Nur Fazura Sharifuddin
Nama Komersial : Fazura
Tarikh Lahir : 23 September 1983
Kerjaya : Pelakon, penyanyi, ahli perniagaan, pengacara dan duta produk
Filem : Bicara Hati, Qaisy & Laila, Gol & Gincu, Kayangan, Kami Histeria, Pisau Cukur, Manisnya Cinta di Cappadoccia, Bulan Terbelah di Langit Amerika dan J Revolusi
Program TV : Facing Up To Fazura
Lagu popular : Sayangi Dirimu, Bangun, Hancur Aku dan Bulan Terbelah Di Langit Amerika

Tajaan Lokasi : Le Meridien Hotel, Kuala Lumpur

224 dibaca
PENYANYI, Fazura pada sidang media Universal Music X Fazura di Hotel Le Meridian. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Berita Harian X