Ahad, 5 Februari 2017 | 12:08am

FELDA, Kedah terikat di Jengka


PEMAIN FELDA United, Norshahrul Idlan Talaha diasak pemain Kedah, Muhammad Akram Mahinan pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi. - Foto Farizul Hafiz Awang

MARAN: Impian juara Piala Sumbangsih, Kedah membawa untuk pulang mata penuh tidak kesampaian apabila diikat FELDA United 1-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini, malam tadi.

Tuan rumah terlebih dulu bermula garang dengan melancarkan serangan sebaik babak pertama bermula.

FELDA United hampir di depan melalui gerakan solo Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-22. Dia berjaya melepasi dua pertahanan lawan, namun gagal membolosi gawang Kedah apabila sepakannya tersasar.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe, terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Ken Ilso Larsen pada minit ke-23, berpunca kesilapan benteng tuan rumah yang gagal menyekat larian penyerang import itu.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun keputusan kekal hingga tamat babak pertama menyaksikan pasukan pelawat mendahului tuan rumah.

Memasuki babak kedua permainan, skuad The Fighters kembali memperkemaskan rentak dan hasilnya Muhammad Hadin Azman berjaya menyamakan kedudukan buat pasukan tuan pada minit ke-57.

Kedah yang juga juara Piala Malaysia edisi 2016 turut mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan, namun ketumpulan bahagian serangan pasukan Helang Merah menyekat hajat skuad mereka menambah gol.

Skuad Kedah dibarisi pemain tengah berpengalaman, Baddrol Bakhtiar turut melepaskan dua peluang keemasan dengan satu daripada percubaannya hanya singgah di palang gol.

Kedua-dua pasukan yang sedang berusaha memperkukuhkan kedudukan dalam kempen Liga Super musim ini terpaksa akur dan berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Berita Harian X