Isnin, 6 Februari 2017 | 11:50am

Wajah baharu meriahkan Hot, Kool FM


Barisan penyampai Hot FM dan Kool FM

KUALA LUMPUR: Rangkaian Radio Media Prima (RRMP) memantapkan barisan hadapan Hot FM dan Kool FM dengan kemasukan tiga penyampai baharu berpengalaman dalam bidang penyiaran, bermula hari ini.

Selepas penyertaan pelawak, Shuk, pada Januari lalu, Hot FM kini menerima seorang lagi 'ahli keluarga' baharu, Zetty Nabila Muhamad Ghazali, 26, manakala Kool FM pula dimeriahkan dengan kehadiran Tengku Nor Suriya Tengku Mohamad, 28, dan Muazanazzudin Mohamed, 33.

Pengurus Besar RRMP, Anida Mohd Tahrim, berkata barisan baharu ini memperkukuhkan lagi kedua-dua jenama radio di bawah payung Media Prima Berhad (MPB) sekali gus meletakkan RRMM sebagai stesen ampuh di dalam industri penyiaran radio negara.

"Pengenalan beberapa wajah segar bagi melengkapkan barisan sedia ada antara strategi yang menjadikan Hot FM dan Kool FM sentiasa menjadi pilihan utama pendengar.

"Secara jelas, kami mempunyai misi untuk terus tampil dengan pembaharuan dan perubahan sejajar visi menjadi jenama dengan fokus utama meliputi muzik, hiburan serta pengisian gaya hidup semasa," katanya menerusi kenyataan media.

Sementara itu, hari ini lebih manis apabila stesen radio Hot FM turut menyambut ulang tahun ke-11, dan akan disusuli Kool FM yang bakal meraikan sambutan operasi pertama pada 1 Mac depan.

Mengenai penyampai baharu, kata Anida, sebelum ini Zetty Nabila yang dikenali dengan panggilan Zetty ialah bekas anggota Hot FM Honda Jazz Zoomerz sejak 2012 sebelum bertugas sebagai penyampai radio sambilan, dua tahun lalu.

Penyertaan Zetty secara tetap di Hot FM adalah susulan perpindahan Tengku Nor Suriya Tengku Mohamad atau Rea daripada stesen berkenaan ke Kool FM yang turut berkuat kuasa hari ini.

Pada masa sama, Muazanazzudin atau lebih sinonim dengan panggilan Muaz, yang juga bekas penyampai stesen lain, dilihat antara pemangkin di corong radio apabila mempunyai kelompok peminat tegar.

Selain muka baharu terbabit, Hot FM turut membariskan Shuk, Ajak, Fizie, Deen, Issey, Ammar, Haziq dan EL manakala Kool FM pula ditunjangi AG, Haiza, Liza, Ezaq serta Ikhwan.

Berita Harian X