Isnin, 6 Februari 2017 | 12:56pm

Pengurusan FAM bakal berbeza: Ramli Junit

BEKAS pemain skuad Olimpik Malaysia 1980, Ramli Junit. - Foto Nazri Abu Bakar
BEKAS pemain skuad Olimpik Malaysia 1980, Ramli Junit. - Foto Nazri Abu Bakar

MELAKA: Bekas pemain skuad Olimpik Malaysia 1980, Ramli Junit, menganggap keputusan sama ada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu bertanding atau tidak jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ia akan tetap mengubah landskap bola sepak negara.

Apatah lagi katanya, Sultan Ibrahim Iskandar baru saja memberi perkenan membenarkan TMJ bertanding dalam pemilihan Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac ini.

Dia yakin, jika TMJ memegang jawatan presiden, akan berlaku perubahan lebih ketara namun jika sebaliknya (dipimpin presiden lain), perubahan juga akan berlaku tetapi bentuknya mungkin berbeza.

"Apa yang penting presiden mesti konsisten untuk menterjemahkan pendekatan berbeza dalam pengurusan seperti kelab dan negara maju sekali gus menampilkan perbezaan ketara ke arah imej baharu bola sepak Malaysia.

"Bagaimanapun apabila ada empat tokoh diketengahkan sebagai calon presiden, itu saja sudah memperlihatkan kesungguhan ahli gabungan FAM untuk mengubah landskap bola sepak ke arah yang lebih positif dan berdaya saing," katanya.

Pagi tadi, ketika menerima mengadap delegasi ahli gabungan FAM, Sultan Ibrahim memberi perkenan membenarkan TMJ bertanding sekali gus mengesahkan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bakal menjadi pilihan mengambil alih pucuk pimpinan FAM.

Jika TMJ bertanding, secara automatik, tiga lagi calon pilihan dikatakan akan menarik diri untuk memberi laluan kepada TMJ termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin; penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Aseh Che Mat.

Ramli yang juga bekas pemain Selangor dan Melaka berkata, seluruh negara mengharapkan perubahan drastik akan berlaku selepas pemilihan pucuk kepemimpinan baharu FAM nanti.

Sehubungan itu, dia juga seperti peminat yang lain turut mengharapkan impian berkenaan bakal menjadi kenyataan dan semua ahli gabungan mesti memberi sokongan padu memastikan kualiti serta pembangunan bola sepak negara terus berkembang maju.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X