Selasa, 7 Februari 2017 | 11:15am

Kes penipuan dalam talian meningkat, catat 3,921 kes 2016


DATUK Madius Tangau. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,921 insiden penipuan dalam talian dilaporkan sepanjang tahun lalu membabitkan pelbagai kes seperti curi data, skim penipuan, pembelian barangan dalam talian serta perbankan internet.

Jumlah itu adalah peningkatan kira-kira 20.4 peratus berbanding tahun 2015 yang mencatatkan 3,257 kes penipuan dalam talian bagi kes sama.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau, berkata statistik itu berdasarkan laporan Pusat Koordinasi Cyber999 dikendalikan CyberSecurity Malaysia.

Katanya, penipuan dalam talian adalah kes banyak dilaporkan oleh netizen membabitkan insiden keselamatan siber dalam tempoh lima tahun terakhir, dengan jumlah insiden sentiasa meningkat dalam tempoh itu.

"Empat jenayah paling tinggi dilaporkan dalam tempoh beberapa bulan terakhir pemantauan, iaitu kesalahan penipuan iaitu yang tertinggi, diikuti pencerobohan, gangguan siber dan 'malware'.

"Insiden lain turut berleluasa, iaitu penggodaman laman sesawang, pencerobohan sistem rangkaian komputer dan penyebaran maklumat peribadi.

"Menyedari perkara ini, kerajaan membina program Cyber Security Awareness For Everyone (CyberSAFE) bagi mewujudkan kesedaran dan menggalakkan penggunaan internet dan komputer secara positif dan beretika, " katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian sambutan Safer Internet Day 2017 di Angkasapuri di sini, hari ini.

Sempena sambutan itu, kementerian turut melancarkan kempen 'Callout Message - MyViralVow' bagi memberi kesedaran kepada netizen mengenai tanggungjawab dan etika ketika berkongsi maklumat melalui penyebaran.

224 dibaca
Berita Harian X