Selasa, 7 Februari 2017 | 3:12pm
PENYAMPAI Radio, Feeya Iskandar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Feeya dapat anak lelaki

ADAM Malique putra sulung penyampai sinar FM Feeya Iskandar yang dilahirkan 11.03 minit pagi di Klang.

KLANG: Penyampai radio Sinar FM, Feeya Iskandar selamat melahirkan anak sulung hasil perkahwinan dengan Nurashid Abd Wahab di sebuah pusat perubatan swasta di sini, pada jam 11.30 pagi tadi.

Ketika dihubungi BH Online, Feeya atau mesra dipanggil 'Cik Piah' memberitahu, bayi lelaki seberat 2.8 kilogram itu dilahirkan secara normal.

Feeya atau nama sebenarnya, Nor Shafiza Iskandar Azizan, 28, gembira kehadiran bayi itu melengkapkan perkahwinannya bersama suami tersayang.

"Syukur dengan anugerah terindah ini. Saya dan bayi selamat serta sihat.

"Saya terharu melalui satu lagi fasa hidup dan pengalaman melahirkan anak secara normal. Perasaan dan pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata," katanya yang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakannya.

Mengenai nama cahaya matanya itu, Feeya berkata, dia dan suami sepakat menamakan putera sulung mereka, Adam Malique.

Feeya mendirikan rumah tangga dengan Nurashid pada Mei tahun lalu.

Berita Harian X