Selasa, 7 Februari 2017 | 7:29pm
GAMBAR hiasan.

Eksport sawit ke Iran akan naik 40 peratus

TEHRAN: Eksport produk dan minyak sawit Malaysia ke Iran akan meningkat antara 30 hingga 40 peratus tahun depan di bawah satu keutamaan atau perjanjian perdagangan bebas (FTA), daripada 453,172 tan bernilai AS$331 juta yang dicapai pada 2016.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata Malaysia hanya perlu menyelesaikan kaedah cukai semasa yang dikenakan oleh kerajaan Iran ke atas import minyak sawit.

"Jika kita boleh mendapat pengurangan sebanyak 40 peratus, jumlah eksport ke Iran, sudah tentu meningkat sebanyak 30-40 peratus pada tahun depan.

"Itu akan menjadi prestasi utama kami pada 2018," katanya kepada BERNAMA.

Mah berada di Tehran sejak 5 Februari untuk mengetuai Misi Ekonomi dan Teknikal Malaysia berhubung Minyak Sawit, Produk Kayu dan Getah selama tiga hari ke Iran.

Malaysia sedang berunding bagi pengurangan duti ke atas minyak sawit dan komoditi lain terhadap barisan tarif sedia ada di bawah FTA.

Eksport minyak sawit ke Iran dilaporkan menghadapi cabaran sekatan dan dasar diskriminasi ke atas cukai.

Pada 2014, kerajaan Iran mengenakan kuota import ke atas minyak sawit, iaitu jumlah import minyak sawit tidak boleh melebihi 30 peratus daripada jumlah import minyak dan lemak.

Import susut sebanyak 47 peratus daripada 997,000 tan pada 2013 kepada 330,970 tan pada 2015 disebabkan kuota import.

Pada Mac 2016, kuota import dimansuh dan digantikan dengan cukai import yang lebih tinggi sebanyak 40 peratus manakala minyak sayuran lain hanya dikenakan cukai sebanyak 24 peratus.

"FTA perlu disegerakan berikutan ia cara terbaik untuk mengurangkan tarif," kata Mah. - BERNAMA

Berita Harian X