Selasa, 7 Februari 2017 | 8:59pm

Raja Thailand perkenan lantik sami agung

SOMDEJ Phra Maha Muniwong. - Foto ihsan Bangkok Post

BANGKOK: Raja Thailand memperkenankan pelantikan sami agung mengetuai agama Buddha di negara itu, sekali gus mengakhiri kekosongan lebih tiga tahun bagi jawatan berkenaan.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha, berkata Raja Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun berkenan melantik Somdej Phra Maha Muniwong sebagai sami agung ke-20 menggantikan sami terdahulu yang meninggal dunia pada 2013 pada berusia 100 tahun.

Muniwong ialah sami dari kuil Wat Ratchabophit yang memiliki hubungan akrab dengan keluarga diraja Thailand.

Bulan lalu, Majlis Agung Sangha, iaitu badan keagamaan rasmi Buddha di Thailand, menamakan anggota paling kanan majlis itu, Phra Ratchamangalacharn, sebagai calon.

Bagaimanapun, Prayuth enggan menerima pencalonan itu berikutan pembabitan Phra dalam kepercayaan Dhammakaya dan tindakannya melarikan diri daripada membayar cukai. - AP

Berita Harian X