Rabu, 8 Februari 2017 | 12:03am

Gagasan Persuratan Baru 'tempang' nilai karya sastera


KUALA LUMPUR: Gagasan Persuratan Baru (PB) yang dijana oleh pengkritik sastera tanah air, Mohd Affandi Hassan dianggap tidak terlepas daripada kerancuan dan kekacauan sehingga perlu dinilai secara kritis dengan melihat aspek fundamental untuk memantapkan gagasan berkenaan.

Mohd Affandi kerap menggunakan PB sebagai 'alat' untuk membedah karya pengarang lain terutama Sasterawan Negara (SN), sehingga ada yang dianggap sebagai picisan. Gagasan itu dikritik kerana tidak berdiri dengan definisi seimbang dan terperinci dalam meletakkan makna keseluruhan terhadap istilah kesusasteraan dan persuratan.

Malah, sejak awal kewujudannya, kritikan PB tertumpu kepada kritikan teori sastera barat dan panel Anugerah Sastera Negara (ASN) dengan sasaran kritikan selalu saja menjurus kepada SN, Professor Emiritus Datuk Shahnon Ahmad; SN, Datuk A Samad Said dan SN Prof Dr Muhammad Hj Salleh.

Penulis muda kritik PB

Kritikan terhadap PB kali ini dilontarkan oleh penulis muda, Ahmad Muziru Idham Adnan pada siri Post Truth 2, anjuran Nusa Centre di Born & Bread Cafe di sini.

"Sejak awal pun, PB memberi makna yang tempang dan pesimis terhadap kesusasteraan serta meletakkan definisi yang positif dan optimis terhadap persuratan.

"Justeru, ketidakseimbangan definisi itu adalah suatu kecelaruan dan ketidakjujuran dalam dunia akademik sastera.

"Ketempangan gagasan PB itu berakar daripada dasarnya sendiri dalam memberikan makna dan mengkategorikan antara 'karya sastera' dengan 'karya persuratan.'

"Dengan definisi yang canggung sebegini, tidak hairanlah penganalisis PB dengan mudah menolak apa yang dipanggil sebagai 'karya sastera' dan menafikan karya yang tidak sealiran dengannya disebabkan oleh pemaknaan definisinya lagi sudah memaparkan suatu ketidakadilan dalam membina gagasan kritikan kesusasteraan," katanya.

Ahmad Muziru berkata, ketidakadilan dalam menentukan kayu ukur kepada penilaian teks menjadi punca kepada narsisme, iaitu sifat kecenderungan untuk egoistik mengagumi diri sendiri sehingga memandang dirinya yang paling hebat sehingga tidak menghargai dan bertoleransi.

Beliau berkata demikian ketika membincangkan kertas kerja Kerancuan-kerancuan dalam Gagasan Persuratan Baru: Suatu Penilaian Kritis.

Post Truth ialah siri wacana yang menjadi medan kepada golongan muda untuk melontarkan pandangan berlainan, sekali gus lanjutan daripada kedua selepas perbincangan tentang Hanyut - Wacana Balas Timur Terhadap Barat pada Disember lalu.

Ahmad Muziru berkata, PB selagi diberikan nama gagasan atau teori tidak terlepas daripada sebarang kelemahan ataupun paradoks kerana ia adalah lahir daripada ciptaan manusia yang tidak akan pernah terlepas daripada kelupaan dan kealpaan.

Penilaian tempang

"Sering kali sesebuah gagasan kritis itu tidak goncang dan teguh pada persadanya kerana kritikan yang diterimanya itu juga adalah penuh dengan falasi, sama ada falasi itu diakibatkan oleh ketidakhadaman dalam penyusunan hujah, ataupun terleka dengan isu peribadi sehingga kritikan terhadapnya juga bersifat individual.

"Sebab itu dalam suatu penilaian akademik, penting untuk penganalisis berfikiran objektif, tajam pemerhatiannya, dan paling penting, difahami dengan sebetulnya terlebih dahulu terhadap apa yang ingin dikritisinya.

"Jika tidak, maka akan lahirlah penilaian tempang yang tidak membawa kepada suatu penilaian akademik yang tajam," katanya.

23 dibaca
Berita Harian X