Rabu, 8 Februari 2017 | 7:56am

Melania menang kes saman terhadap blogger


Melania Trump - Foto Getty Images

NEW YORK: Melania Trump memperoleh 'jumlah besar' dalam saman terhadap blogger Maryland yang menulis khabar angin tidak berasas kononnya Wanita Pertama itu pernah menjadi pelacur kelas atasan.

"Saya menyedari kenyataan palsu itu mengecewakan dan menjejaskan Melania dan keluarganya, dan saya meminta maaf kepada beliau, anak, suami dan ibu bapanya kerana membuat kenyataan itu," kata Webster Tarpley, dalam kenyataan yang disiarkan peguam Trump.

Peguam Tarpley mengesahkan ketepatan kenyataan itu dalam e-mel dan berkata kes itu sudah selesai.

Kedua-dua pihak tidak mendedahkan jumlah penyelesaian walaupun peguam Trump, Charles Harder, menyifatkan ia 'jumlah besar.'

Melania, yang mengahwini Presiden Donald Trump, memfailkan saman itu terhadap Tarpley dan akhbar tabloid Daily Mail, selepas akhbar itu menyiarkan artikel yang secara salah menuduh beliau menjadi pelacur kelas atasan.

Artikel itu merujuk laporan majalah Slovenia bahawa agensi modeling yang disertai Melania di New York pada 1990-an juga bertindak sebagai 'bapa ayam.'

Daily Mail menarik balik kenyataan itu dan meminta maaf selepas saman difailkan, dan berkata dalam kenyataan ia tidak berhasrat menyatakan atau merujuk Melania sebagai pelacur. - REUTERS

Berita Harian X