Rabu, 8 Februari 2017 | 2:32pm

Bursa Malaysia kekal rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi, diheret turun oleh aktiviti pengambilan untung sederhana di kaunter saham mewah seperti BAT dan Petronas Gas.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.83 mata kepada 1,688.09, selepas dibuka 1.70 mata lebih rendah pada 1,687.14 berbanding 1,688.84 pada penutup semalam.

Indeks utama bergerak antara 1,686.03 dan 1,690.22 di sepanjang dagangan pagi.

Kaunter rugi dalam saham komponen indeks komposit, diketuai BAT, yang susut 42 sen kepada RM44.38, diikuti Petronas Gas yang turun 34 sen kepada RM20.36, SAM Engineering rugi 17 sen kepada RM5.40 dan MISC susut 15 sen kepada RM7.40.

Bursa tempatan yang lemah juga selari dengan kebanyakan bursa serantau.

Indeks Straits Times Singapura susut 0.35 peratus kepada 3,060.96, KOSPI Korea Selatan susut 0.56 peratus kepada 2,063.68 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.09 peratus kepada 23,310.29.

Hong Leong Investment Bank Bhd menjangkakan aktiviti pengambilan untung jangka pendek muncul jika wujud pemulihan ketara dalam pengeluaran minyak syal yang boleh mengehadkan kenaikan harga minyak mentah, dengan tekanan jualan akan dilihat di kaunter saham berkaitan tenaga.

"Walaupun petunjuk teknikal masih positif ke atas FBM KLCI, sentimen dagangan mungkin kekal berhati-hati berdasarkan ringgit yang dijangkakan lemah.

"Oleh itu, FBM KLCI mungkin didagangkan dalam aliran harga menurun meskipun saham minyak dan gas akan meningkat," katanya dalam nota kajiannya, hari ini.

Berdasarkan pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 382 berbanding 336 dengan 376 kaunter tidak berubah, 602 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.26 bilion saham bernilai RM907.54 juta.

Indeks FBM Emas susut 6.30 mata kepada 11,887.21, Indeks FBMT100 turun 9.00 mata kepada 11,569.71 manakala Indeks FBM Emas Syariah susut 9.06 mata kepada 12,426.02.

Indeks FBM 70 turun 14.56 mata kepada 13,736.85 dan FBM Ace susut 36.20 mata kepada 5,183.24.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 1.88 mata kepada 8,170.35 dan Indeks Perusahaan susut 20.04 mata kepada 3,195.35.

Indeks Kewangan bagaimanapun meningkat 16.71 mata kepada 14,886.39. - BERNAMA

Berita Harian X