Rabu, 8 Februari 2017 | 5:32pm

Tiga beranak maut digilis lori


JENAZAH tiga beranak yang maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tanah 10 tan dibawa ke Bilik Mayat Hospital Melaka, Bukit Palah, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Tiga beranak, termasuk dua kanak-kanak berusia lima dan lapan tahun maut apabila motosikal yang mereka naiki terbabas, sebelum digilis sebuah lori di Kampung Balik Bukit, Bukit Lintang, Telok Mas, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Mohd Lazi Mohd Taher, 35, dan dua anak perempuannya, Nur Balqisha Amani dan Nurfarisha Amanina, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di anggota badan.

Bagaimanapun, pemandu lori yang membawa muatan pasir berusia 70-an tidak mengalami sebarang kecederaan.


DUA anak mangsa yang maut, Nurfarisha Amanina, 8, (kiri) dan Nur Balqisha Amani, 5, (kanan) selepas digilis lori yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Larang, Telok Mas, Melaka.- Foto Ihsan Pembaca

MOHD Lazi Mohd Taher, (kiri) ketika hayatnya bersama isteri, mangsa maut bersama dua anaknya selepas digilis lori yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Larang, Telok Mas, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Taman Bukit Larang dalam perjalanan pulang daripada mengambil kedua-dua anaknya dari Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Mas dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) KEMAS Bukit Larang di sini.

Sumber berkata, ketika kejadian motosikal jenis MODENAS Kriss yang ditunggang mangsa dipercayai gagal memotong lori pasir terbabit, sebelum terbabas dan digilis.

"Mangsa bersama dua anak perempuannya meninggal dunia di tempat kejadian akibat digilis lori.

"Ketiga-tiga mayat kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan kejadian itu.

16 dibaca
KEADAAN lori tanah 10 tan yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal dinaiki tiga sekeluarga yang maut ketika pulang dari sekolah di Jalan Bukit Larang, Telok Mas, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
TIGA beranak maut selepas motosikal yang ditunggang seorang bapa terjatuh sebelum digilis sebuah lori pasir seberat 10 tan di Kampung Balik Bukit, Bukit Lintang, Telok Mas, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
JENAZAH tiga beranak yang maut digilis sebuah lori dibawa keluar dari bilik mayat Hospital Melaka, Bukit Palah. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
Berita Harian X