Rabu, 8 Februari 2017 | 6:17pm

Penaja SIC Racing diketahui dua minggu lagi


KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. - Foto Osman Adnan

SEPANG: Teka-teki siapa penaja utama pasukan SIC Racing Team untuk musim Kejuaraan Motosikal Dunia 2017 akan terjawab dua minggu lagi.

Pasukan Moto3 itu dijadual menjalani sesi ujian pra musim peribadi di litar Sepang pada 16 hingga 21 Februari ini dan waktu berkenaan dilihat sesuai oleh pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk memberi ruang kepada mereka untuk mengumumkannya.

Tahun lalu, syarikat minuman bertenaga, Drive M7 menjadi penaja utama namun tidak melanjutkan kontrak bersama pasukan musim ini.

"Pasukan SIC Racing Team akan tiba di sini Isnin depan," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali hari ini sambil menyatakan penaja kali ini juga adalah syarikat tempatan.

Bagaimanapun, Razlan terus mengunci mulut mengenai identiti penaja baharu itu yang difahamkan mengikat kontrak setahun.

"Mereka (pasukan SIC Racing Team) akan menjalani sesi ujian selama enam hari. Drive M7 bukan lagi penaja utama dan akan ada penaja baharu.

"Kami mahu memberikan mereka impak dan melancarkannya nanti. Ia (pengumuman dan pelancaran) mungkin diadakan selepas hari ujian terakhir nanti.

"SIC Racing Team adalah satu-satunya pasukan Moto3 dalam kejuaraan yang akan menjalani latihan rasmi di Sepang."

Musim ini, SIC Racing Team diwakili Adam Norrodin yang memasuki tahun keduanya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia dan ditemani pelumba baharu dari Jepun, Ayumu Sasaki.

Pusingan pembukaan musim 2017 dijadual berlangsung di Sirkit Antarabangsa Losail, Qatar, 26 Mac ini.

Berita Harian X