Rabu, 8 Februari 2017 | 7:48pm
PENGERUSI Media Prima Berhad(MPB), Datuk Seri FD Iskandar (tengah) bergambar bersama Ahli Lembaga Pengarah Media Prima Berhad dan Pengarah Urusan NSTP selepas melakukan yee sang sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MPB di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Rumah terbuka Media Prima meriah

KUALA LUMPUR: Lebih 1,500 tetamu mewakili badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan serta media memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Media Prima Berhad (MPB) di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Sambutan dalam suasana perpaduan dalam kepelbagaian menerusi acara tradisi menggaul yee sang yang diketuai Pengerusi MPB, Datuk Seri FD Iskandar.

Yee Sang yang melambangkan kemewahan, kemakmuran dan kesuburan adalah sejenis salad ikan mentah gaya Chaozhou, biasanya terdiri daripada potongan daging ikan mentah, yang bercampur dengan cebisan sayur-sayuran dan beraneka sos.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan MPB, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Mohammad Azlan Abdullah; dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid.

Hadir sama, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Manja Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Kamal Khalid; dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio MPB, Ahmad Izham Omar.

Tetamu kehormat lain adalah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio MPB, Seelan Paul dan Ahli Lembaga Pengarah NSTP, Tan Sri Lee Lam Thye.

Selain menjamu selera, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan tarian singa.

Berita Harian X