Khamis, 9 Februari 2017 | 12:03am

Tidak boleh kasi haiwan tanpa keperluan

SAYA ada membela kucing di rumah. Bolehkah saya memukulnya bagi tujuan mendidik. Sementara itu, bolehkah mengasi haiwan supaya tidak membiak hingga mengganggu jiran?

Memukul haiwan peliharaan atau haiwan ternakan sebagai langkah mendidiknya adalah dibenarkan. Namun, pukulan itu mestilah tidak menyebabkan ia luka atau mati. Jika pukulan menyebabkan haiwan berkenaan mati atau tercedera, maka hukum berbuat demikian adalah haram dan berdosa.

Buktinya ialah sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya seorang perempuan telah dimasukkan ke dalam api neraka kerana seekor kucing yang telah diikatnya tanpa memberinya peluang untuk mencari makanan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Secara dasarnya, memudaratkan semua jenis haiwan sama ada yang diternak atau dipelihara di rumah dengan perbuatan tertentu tanpa sebarang keperluan adalah haram. Perlu diketahui perbuatan mengasi haiwan terbahagi kepada dua keadaan.

Pertama, mengasi haiwan ternakan yang halal dimakan dagingnya, kedua ialah mengasi haiwan peliharaan yang haram dimakan dagingnya.

Mazhab Hanafi, Maliki, Shafi'e dan Hambali bersepakat mengharuskan perbuatan itu terhadap haiwan ternakan yang boleh dimakan dagingnya seperti kambing, lembu dan kerbau.

Hujah kepada pandangan ini ialah hadis diriwayatkan oleh Ibn Majah bahawa Nabi SAW pernah mengorbankan tiga ekor kibash besar yang telah dikasi.

Namun, fuqaha saling berbeza pendapat berhubung hukum mengkasi haiwan peliharaan yang haram dimakan dagingnya. Mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali berpendapat mengasi haiwan peliharaan seperti kucing adalah makruh. Jika tiada sebarang keperluan untuk berbuat demikian, maka adalah lebih baik (afdal) perbuatan itu tidak dilakukan.

Mazhab Shafi'e pula mengharamkan perbuatan mengasi semua jenis haiwan peliharaan. Hujah Mazhab Shafie ialah hadis Ibn Umar yang mengatakan bahawa Nabi SAW melarang daripada perbuatan mengasi kuda. (Hadis ini disahkan sanadnya sebagai daif).

* Penulis ialah pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Berita Harian X