Khamis, 9 Februari 2017 | 1:05pm

Nelydia Senrose bakal muncul koleksi pakaian tidur


NELYDIA Senrose mengumumkan bakal mengeluarkan pakaian tidur menggunakan jenama Impian by Nelydia. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Berbeza dengan kebanyakan selebriti lain yang memilih untuk menjual pakaian Muslimah, tudung mahupun minyak wangi, Nelydia Senrose mengumumkan bakal mengeluarkan pakaian tidur.

Pelakon itu berkata, menggunakan jenama Impian by Nelydia, ia juga percubaan pertamanya dilakukan secara serius dalam bidang perniagaan.

Selain dirinya, Farah Asyikin dan Winnie K antara segelintir selebriti lain yang pernah mempromosikan baju tidur dan pakaian dalam sebagai bisnes masing-masing.

"Saya memutuskan untuk tampil dengan perniagaan baju tidur kerana ia begitu dekat dengan diri. Saya sukakan baju tidur, malah pendek kata, semua golongan wanita menyukainya.

"Cuma, saya rasakan sebelum ini tidak ramai orang yang berani membicarakannya secara terbuka. Tiada salahnya pun untuk menjual baju tidur kerana ia keperluan wanita.

"Malah, kalau dilihat pasaran luar negara, ia bukan lagi perkara asing. Ada jenama luar yang begitu dekat di hati wanita Malaysia. Jadi, kenapa tidak saya sendiri keluarkan barangan sama?" katanya optimis.

Pelakon yang sedang sibuk di lokasi drama Encik Suami Mat Salih Celup, karya yang diangkat daripada novel berjudul sama itu turut melihat pemilihan nama Impian by Nelydia memberikan erti cukup besar dalam hidup dan dirinya.

"Impian saya adalah untuk berjaya dengan perniagaan ini dan melihat semua wanita di luar sana memakai pakaian tidur yang cantik," katanya yang kini tidak sabar menunggu kehadiran filem, Jebat The Movie, naskhah lakonannya bersama Sharnaaz Ahmad, ke pawagam.

Ditanya mengenai idea memulakan perniagaan itu, adik kepada Uqasha Senrose ini memberitahu, ia tercetus sejak tahun lalu.

"Sejak itu, saya mula memilih material yang sesuai dan betul-betul selesa untuk dipakai. Prosesnya memang panjang dan saya sangat teliti dalam hal ini," katanya.

21 dibaca
Berita Harian X