Khamis, 9 Februari 2017 | 4:01pm

Malaysia Airlines tawar diskaun tiket

MALAYSIA Airlines menawarkan diskaun tiket sehingga 30 peratus ke destinasi popular. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines menawarkan diskaun tiket sehingga 30 peratus ke destinasi popular dalam kempen promosi Malaysia Airlines Travel Fair (MATF 2017).

Promosi berkenaan yang bermula 8 hingga 15 Februari ini menawarkan tambang murah kepada pelanggan untuk kelas ekonomi dan kelas perniagaan.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan berkata, promosi itu bagi tempoh penerbangan bermula dari 15 Februari hingga 20 Jun untuk kelas ekonomi manakala 13 Februari hingga 25 Mei untuk kelas perniagaan.

"Promosi ini termasuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke rangkaian negara ASEAN dan antarabangsa, Kuching dan Miri ke Singapura serta Kota Kinabalu ke Shanghai, Taipei, Tokyo dan Perth.

"Pelanggan boleh menikmati tambang serendah RM259 pergi dan balik untuk kelas ekonomi antara Kuala Lumpur dan Medan termasuk bagasi 30 kilogram, makanan serta hiburan dalam penerbangan tanpa caj tersembunyi.

"Tambang kelas perniagaan pula boleh didapati sehingga 30 peratus dengan akses ke Golden Lounge, peruntukan bagasi 40 kilogram, keselesaan serta pengalaman dalam penerbangan," katanya.

Sempena pengembangan operasinya ke China, syarikat penerbangan nasional itu turut menyediakan tawaran penerbangan ke Haikou serendah RM999 pergi dan balik untuk kelas ekonomi dengan jumlah penerbangan dua kali seminggu.

Promosi itu boleh ditempah melalui laman web syarikat penerbangan nasional itu di www.malaysiaairlines.com, pusat panggilan 24 jam 1 300 88 3000, pejabat jualan tiket dan semua ejen pelancongan yang mengambil bahagian di Malaysia.

Berita Harian X