Khamis, 9 Februari 2017 | 11:41pm

Azizulhasni ke suku akhir acara pecut ACC New Delhi


JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang. - Foto Rosli Rahmat

KUALA LUMPUR: Tidak rela kecewa sekali lagi, jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang pantas memberi amaran awal kepada pencabar apabila mendominasi pusingan kelayakan acara pecut Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2017 di New Delhi, India.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 itu melepaskan kekecewaan acara keirin dengan mengungguli acara pecut menerusi kepantasan 10.105 saat (s) hari ini sekali gus menempah tiket ke pentas suku akhir, esok.

Catatan itu menyaksikan The Rocketpocketman mengatasi dua pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata dan Yuta Wakimoto, yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan catatan 10.185s serta 10.192s.

Seorang lagi bintang dalam pembikinan negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut meneruskan kecemerlangannya apabila menduduki tangga keenam dalam pusingan kelayakan dengan catatan 10.292s.

Bagaimanapun, ujian getir menanti Azizulhasni apabila perlu berdepan jaguh China, Liu Cheng pada pusingan suku akhir esok dengan Shah Firdaus dijadualkan menentang juara keirin ACC 2017, Wakimoto.

Bagi Shah Firdaus, 20, yang masih segar dengan kejayaan menjulang gangsa dalam acara keirin, kelmarin tiada apa yang perlu dibimbangi dirinya sekiranya tewas hari ini kerana tekanan lebih dirasai Wakimoto.

"Walaupun dia lebih berpengalaman, saya hanya mahu kekal fokus. Kalah atau menang belakang cerita.

"Sekurang-kurangnya saya akan cuba bagi tentangan sengit dan takkan bagi laluan mudah untuk dia mara ke separuh akhir," katanya.

Kedua-dua pelumba akan bersaing merebut tempat ke separuh akhir seterusnya final yang turut dijadualkan berlangsung esok bagi menentukan pemenang acara pecut.

Berita Harian X