Sabtu, 11 Februari 2017 | 1:36pm

Pujukan DJ Lin bawa Tyzo kembali ke Suria FM


TYZO atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Pernah bersama Suria FM bermula tahun 2007, namun meninggalkannya selepas enam tahun berkhidmat, jodoh Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris bersama stesen itu masih utuh.

Diberi tanggungjawab mengendalikan segmen petang bersama Suraya Borhan sejak pertengahan tahun lalu, Tyzo berkata, pujukan penyampai senior, DJ Lin yang disapanya sebagai Kak Lin membawanya kembali ke konti.

Tidak menyangka jodohnya bersama Suria FM masih panjang, Tyzo mengakui hubungannya dengan pengurusan dan penyampai stesen itu terputus selepas kontraknya berakhir susulan sedikit perselisihan.

"Hanya tahun lalu, saya menghubungi Kak Lin untuk mengucapkan tahniah selepas memenangi trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke- 29. Dari situ, Kak Lin meyakinkan saya untuk kembali dan meneruskan khidmat bersama Suria FM.

"Melihat penerimaan pendengar yang semakin baik, saya tidak menolak kembali menyertai mereka. Lagipun, saya sudah melupakan kisah lama dan tidak menyimpan dendam.

"Saya ingin membuka buku baharu dan cuba membuktikan, saya masih mempunyai pengikut di radio," katanya.

Tyzo mengakui tidak mudah mencipta keserasian terutama apabila dipertemukan dengan gandingan baharu iaitu Suraya.

"Meskipun masing-masing mempunyai pengalaman, namun keserasian yang dicari tidak diperoleh sekelip mata.

"Alhamdulillah, selepas enam bulan, kami semakin serasi. Suraya adalah rakan gandingan yang baik dan mudah bekerjasama dengannya," katanya yang mengendalikan slot Suria Petang.

Tyzo menyertai dunia penyiaran menerusi stesen radio Muzik FM pada 16 Julai 2004 dan pernah menyumbangkan khidmatnya di stesen seperti Ultra FM dan Pi Mai FM, sebelum beralih ke Selangor FM.

648 dibaca
Berita Harian X