Sabtu, 11 Februari 2017 | 5:51pm

11 pegawai kanan PDRM tukar jawatan


KETUA Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad.

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan arahan pertukaran jawatan membabitkan 11 pegawai kanannya yang berkuat kuasa 13 Mac ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad, berkata mendahului senarai pertukaran adalah Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Seterusnya, Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis (DCP) Fatimah Abd Hamid bertukar sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

"Jawatan Fatimah diambil alih Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Pengurusan Penilaian Kompetensi, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohd Roze Shaari dengan memangku pangkat DCP," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Pasukan Gerakan Khas) Bukit Aman, Datuk Azizan Abd Aziz, ditukarkan sebagai Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan) Bahagian Gerakan Jabatan KDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

"Pertukaran turut membabitkan Penolong Pengarah Perkhidmatan, Bahagian Perkhidmatan Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Asisten Komisioner Polis (ACP) Sulaiman Yahaya, sebagai Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Pengurusan Penilaian Kompetensi, Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

"ACP Ketua Inspektorat Penerbangan, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Jabatan KDNKA Bukit Aman, ACP Mohd Rafique Ramli Ariffin ditukarkan ke SAC Ketua Inspektorat Penerbangan, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Jabatan KDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC," katanya.

Beliau berkata, pertukaran lain membabitkan Komander Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Empat, Jabatan KDNKA Kota Kinabalu, Sabah, ACP Mohamad Madun yang ditukarkan sebagai Ketua Staf, Pasukan Khas, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) JPM dengan memangku pangkat SAC.

Sementara itu, katanya, Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) (Pematuhan) Bukit Aman, ACP Datin Sharifah Aini Syed Bab akan memangku pangkat SAC dengan mengekalkan jawatan sekarang.

"Pegawai Turus E6, Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Superintendan Roslan Abu Samah, ditukarkan sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas (II) IPK Perak dengan memangku pangkat ACP.

"Pegawai Pemerintah Batalion 9 Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan KDNKA Kuala Terengganu, Terengganu, Superintendan Mohd Abduh Ismail ditukarkan sebagai Ketua Penolong Pengarah Urus Setia, Cawangan Urus Setia, Bahagian Kepolisan Am, Jabatan KDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP," kata Asmawati.

Katanya, pertukaran terakhir membabitkan Superintendan Pengajian Sains Kepolisan (5), Pusat Pengajian Sains Pengurusan, Maktab PDRM Kuala Lumpur, Superintendan Ishak Hasan ditukarkan sebagai Penolong Pengarah Perkhidmatan, Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Berita Harian X