Sabtu, 11 Februari 2017 | 8:25pm

13 rentung bas dan van bertembung


13 rentung dan 20 lagi cedera dalam letupan besar berikutan pertembungan bas dan van membawa tong gas di barat daya Bangladesh. - Foto www.siasat.com

DHAKA: Sekurang-kurangnya 13 rentung dan 20 lagi cedera dalam letupan besar berikutan pertembungan bas dan van membawa tong gas di barat daya Bangladesh.

Kejadian dilaporkan di lebuh raya menghubungkan Dhaka dan Khulna di daerah Faridpur.

"Tiga belas maut setakat ini dalam kemalangan manakala hampir 20 lagi dirawat kerana cedera akibat tragedi itu," kata seorang pegawai polis.

Laporan media memetik saksi berkata kedua-dua kenderaan terbakar apabila tong gas jatuh dari van dan meletup selepas dua kenderaan itu bertembung.

Kebanyakan mangsa rentung, lapor Hindustan Times.

Kebanyakan mereka terbunuh di lokasi kejadian manakala sebahagian penumpang bas yang cedera kritikal.

Pihak berkuasa berkata angka korban mungkin meningkat.

Pemandu van antara yang maut dalam kemalangan itu.

Pembantu Pengarah Perkhidmatan Bomba dan Pertahanan Sivil, Momtaz Uddin, berkata kebakaran mungkin berlaku akibat letupan tong gas.

Empat kereta bomba dari Faridpur dikejarkan ke lokasi dan berjaya mengawal api.

Berita Harian X